Barakah Pit Stop diperluas kepada pemandu e-hailing, p-hailing

6 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Inisiatif Barakah Pit Stop yang menyediakan kemudahan persinggahan kepada pemandu e-hailing dan p-hailing akan diperluaskan ke beberapa lokasi lain termasuk di Bandar Tun Razak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hassan, berkata kemudahan tersebut bukan sahaja memberi ruang untuk berehat, malah membolehkan golongan berkenaan menunaikan solat serta berkongsi rezeki melalui sumbangan yang disediakan.

“InsyaAllah kita akan tambah lagi Barakah Pit Stop di beberapa lokasi. Sekarang kita sedang meninjau untuk buka di Bandar Tun Razak,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Ramah Mesra Pemandu E-Hailing dan P-Hailing Barakah Pit Stop di Masjid Wilayah Persekutuan, hari ini.

Beliau berkata, pendekatan tersebut merupakan usaha menyantuni golongan pekerja jalanan yang saban hari berkhidmat kepada masyarakat.

Dalam pada itu, Zulkifli turut menzahirkan penghargaan kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), PPZ-MAIWP serta Pertubuhan Kebajikan Prihatin Insan Kuala Lumpur dan Selangor (Pekerti) yang menjayakan program tersebut.

Katanya, inisiatif berkenaan mencerminkan peranan masjid sebagai pusat kebajikan dan penyatuan ummah selain medium dakwah santai kepada masyarakat.

Dalam masa sama, beliau turut menyorot sikap prihatin rakyat Malaysia yang disifatkan sentiasa membantu tanpa mengira latar belakang.

Menurutnya, contoh seperti kisah tular ‘Abang minyak hitam’, individu yang membantu orang awam di jalanan membuktikan nilai kemanusiaan tinggi dalam kalangan rakyat negara ini.

“Bukan orang besar, tetapi insan biasa menunjukkan suri teladan luar biasa dalam membantu orang lain,” katanya.

Tambah beliau, program seperti Barakah Pit Stop diharap dapat diperluaskan ke negeri-negeri lain bagi memperkukuh budaya saling membantu dalam masyarakat.

Pada majlis itu, para pemandu turut menerima sumbangan termasuk wang tunai dan keperluan asas sebagai tanda penghargaan terhadap perkhidmatan mereka. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |