PETALING JAYA– “Rasa macam dua bulan tunggu gaji.”
Itu antara luahan ramai penjawat awam dan pekerja swasta yang mula menghitung hari menanti pembayaran gaji bagi bulan Jun yang dijadualkan pada Khamis depan, 25 Jun 2026, selepas melalui tempoh menunggu yang lebih panjang berbanding kebiasaan.
Berdasarkan Jadual Pembayaran Gaji 2026 yang dikeluarkan Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM), gaji bulan Mei telah dibayar lebih awal pada 21 Mei sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, sekali gus menyebabkan tempoh menunggu sehingga tarikh gaji seterusnya mencecah 35 hari.
Situasi itu membuatkan ramai merasakan bulan Jun sebagai antara tempoh paling mencabar dari segi aliran tunai, terutama selepas perbelanjaan tinggi pada musim perayaan dan cuti sekolah.
Bagaimanapun, hakikatnya gaji bulan Jun bukan lewat, sebaliknya pembayaran kembali mengikut jadual asal selepas kerajaan memberi bayaran awal pada beberapa bulan sebelum ini.
Untuk rekod, pembayaran gaji Januari, Februari, Mac dan Mei dibuat lebih awal berikutan sambutan Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.
Tinjauan di media sosial mendapati ramai pengguna berseloroh mengenai baki akaun yang semakin menipis dengan pelbagai hantaran lucu.
“Survival mode (mod bertahan hidup) minggu terakhir mi segera penyelamat hujung bulan ini. Sebelum ini asyik dapat gaji awal,” kata seorang pengguna Facebook.
Seorang lagi berkata, situasi itu bukan kerana gaji lambat, cuma kita dah biasa dimanjakan dengan gaji awal sejak awal tahun.
“Kalender sekarang cuma ada satu tarikh penting untuk bulan ini iaitu 25 Jun 2026, terasa menipis sangat dah ni,” kata Fadhilah Yaacob.
Apa pun, bagi jutaan pekerja di negara ini, penantian bakal berakhir apabila gaji mula dikreditkan pada Khamis ini, sekali gus memberi nafas baharu kepada dompet yang semakin ‘nazak’ menjelang penghujung bulan. – KOSMO! ONLINE

1 hour ago
2







![[VIDEO] Buaya muncul lagi depan jeti penumpang Port Dickson](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/WhatsApp-Image-2026-06-21-at-12.30.03-AM.jpeg)




![[VIDEO] Ingatkan gangguan ‘makhluk halus’, rupa-rupanya vape ‘mushroom’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/WhatsApp-Image-2026-06-20-at-5.18.20-PM.jpeg)


































