Piala Dunia 2026: Cape Verde terus cipta sensasi, Uruguay tertekan

6 hours ago 5

MIAMI – Cape Verde terus mencipta kejutan pada penampilan sulung mereka di pentas Piala Dunia apabila mengikat Uruguay 2-2 dalam aksi dramatik Kumpulan H di Stadium Miami, awal pagi tadi.

Selepas berjaya mengikat juara Eropah, Sepanyol tanpa jaringan pada aksi pembukaan, skuad digelar Blue Sharks itu sekali lagi mempamerkan semangat luar biasa apabila menafikan kemenangan Uruguay yang kini berdepan tekanan besar untuk layak ke pusingan kalah mati.

Cape Verde mengejutkan lawan apabila mendahului pada minit ke-21 menerusi Kevin Pina yang meledak sepakan percuma jarak jauh menewaskan penjaga gol berpengalaman, Fernando Muslera sekali gus menghadiahkan gol pertama negara itu di pentas Piala Dunia.

Namun, Uruguay bangkit menjelang tamat babak pertama apabila Maxi Araujo menyamakan kedudukan pada minit ke-44 sebelum Agustin Canobbio meletakkan pasukan Amerika Selatan itu di depan dalam masa kecederaan separuh masa pertama.

Jaringan Araujo hadir menerusi tandukan selepas percubaan Manuel Ugarte terkena tiang, sekali gus menamatkan rekod tanpa bolos penjaga gol Cape Verde, Vozinha yang sebelum ini menjadi wira ketika mengekang asakan Sepanyol.

Ketika Uruguay dilihat semakin hampir untuk meraih kemenangan pertama, jurulatih Cape Verde, Bubista melakukan beberapa pertukaran yang mengubah corak permainan pasukannya.

Pemain gantian, Helio Varela muncul penyelamat apabila mengambil kesempatan atas kesilapan pertahanan Mathias Olivera sebelum menewaskan Muslera pada minit ke-61 untuk menghidupkan semula harapan Cape Verde.

Kedua-dua pasukan terus memburu gol kemenangan pada penghujung perlawanan, namun peluang terbaik Uruguay menerusi Canobbio pada minit akhir gagal dimanfaatkan apabila rembatannya melambung tinggi.

Keputusan itu menyaksikan Cape Verde mengumpul dua mata daripada dua perlawanan selepas turut mengikat Sepanyol sebelum ini, manakala Uruguay yang sekadar meraih dua keputusan seri kini perlu menewaskan Sepanyol pada aksi terakhir kumpulan untuk menghidupkan peluang ke pusingan 32 terbaik. KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |