‘Jika juarai TTMM2 mama bagi RM150,000, tiket Barcelona’

6 hours ago 5

SHAH ALAM – Terlepas gelaran juara, lebih besar lagi, penyanyi Cik Bi sebenarnya berputih mata apabila hadiah tunai RM150,000, dan hadiah percutian ke Barcelona yang dijanjikan ibu merangkap pengurusnya, Datuk Seri Vida (DSV) juga lebur begitu sahaja apabila trofi pertandingan Talk To My Manager musim kedua (TTMM2) menjadi milik peserta termuda, Anggrek bersama Adira selaku pengurus.

Reda rezeki tidak berpihak kepadanya, Cik B atau nama sebenar Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin, 21, yang menamatkan saingan hanya di tempat ketiga bagaimanapun menyifatkan ‘poket’ ibunya terselamat daripada mengeluarkan ganjaran lumayan kepadanya jika bergelar juara.

“Mama kata dia akan hadiahkan wang tunai RM150,000 dan bawa saya bercuti ke Barcelona, Sepanyol kalau saya jadi dapat jadi juara.

“Selain itu, kalau saya menang, semua pekerja di pejabat saya pun akan diberikan cuti, cuma rezeki saya dapat tempat ketiga.

“Nasib baik, selamat juga poket mama,” katanya berseloroh ketika ditemui selepas malam kemuncak TTMM2 di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), semalam.

Menurutnya yang mara ke pentas akhir bersama empat lagi finalis, ibunya tidak menawarkan sebarang imbuhan sekiranya dia menamatkan saingan bukan di kedudukan juara.

“Mama tak janji apa-apa yang lain sebab mama cuma cakap tentang pemenang pertama sahaja. Saya okey, jalani hidup macam biasa.

“Sebenarnya saya boleh sahaja minta mama, contohnya, ‘Cik B dapat nombor tiga, boleh tak dapat RM30,000?’ Boleh sahaja.

“Sebab mama memang sangat supportive (menyokong). Apa sahaja yang saya minta, mama tak pernah cakap no (tidak),” ujarnya.

Mengulas sikap pemurah insan kesayangannya itu, Cik B mendedahkan hadiah Lamborghini Urus Mansory dihadiahkan kepadanya selepas dia bergurau menyatakan hasrat memiliki kenderaan mewah tersebut sebagai hadiah ulang tahun kelahiran.

“Tahu tak fasal Lamborghini Urus itu yang saya dapat baru-baru ini? Sebelum ini saya tak pernah minta apa-apa. Mama yang tanya saya nak hadiah apa untuk hari jadi.

“Waktu itu saya dah tak tahu nak minta apa sebab semuanya mama sudah berikan. Jadi saya saja cakap Lamborghini Urus. Tiba-tiba dapat pula.

“Mama memang seorang yang penuh kejutan. Sebab itu kadang-kadang saya tak beritahu apa yang saya nak kerana takut mama terus belikan. Sekarang ini pun rasa macam dah membazir,” ulasnya.

Terdahulu, Cik B juga usahawan muda itu meraih tangga ketiga TTMM2 yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000 berserta trofi.

Takhta juara menjadi milik peserta termuda, Anggrek, 9, bersama pengurusnya, Adira Suhaimi yang melayakkan anak beranak itu membawa pulang ganjaran berjumlah RM30,000 dan trofi.

Naib johan pula dimenangi Hussain bersama pengurusnya, Jamilulhayat dengan hadiah wang tunai RM15,000 serta trofi.

Semua pemenang turut menerima hadiah emas tajaan Payang Jewellery, pakej penginapan di Seri Pacific Hotel Kuala Lumpur, selain peruntukan pengurusan serta pemasaran daripada Rocketfuel Entertainment dan sebuah single. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |