PETALING JAYA – Aksi dua motosikal berkuasa tinggi yang didakwa dipandu secara berbahaya di Jambatan Putra, Putrajaya membawa padah apabila kedua-dua penunggang ditahan polis, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya mengesan video tular itu di aplikasi Threads.
Menurut beliau, hasil risikan awal berjaya mengesan salah seorang penunggang sebelum lelaki tempatan berusia 31 tahun itu tampil ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.
“Suspek mengaku sebagai pemilik salah sebuah motosikal terlibat dan memaklumkan kejadian berlaku pada 19 April 2026 kira-kira pukul 12.30 tengah malam.
“Siasatan awal mendapati kumpulan berkenaan berada di lokasi tersebut untuk berkumpul serta menghasilkan kandungan media sosial, bukan semata-mata untuk tujuan perlumbaan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Tambah beliau, siasatan lanjut bagaimanapun masih diteruskan bagi mengenal pasti tujuan sebenar kejadian itu yang berlaku berhampiran Masjid Putra.
Menurutnya, bertindak atas maklumat dan risikan, polis berjaya menahan kedua-dua penunggang terlibat iaitu lelaki tempatan berusia 31 dan 33 tahun.
“Kedua-dua suspek telah ditahan bagi membantu siasatan dan motosikal yang digunakan turut disita. Kes disiasat di bawah Seksyen 81 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kedua-dua individu juga telah diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada hari sama,” ujarnya.
Sementara itu, pihaknya kini giat mengesan beberapa individu lain yang dipercayai turut terlibat dalam rakaman video tersebut.
“Polis memandang serius sebarang bentuk pelanggaran undang-undang jalan raya yang boleh mengancam keselamatan pengguna lain. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

22 hours ago
9
















































