Pertikaian politik kekang usaha transformasi Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi

1 hour ago 2

PETALING JAYA – Malaysia kini berdepan dengan cabaran yang besar dan jauh lebih mendesak daripada mengungkit tentang politik masa lalu yang akan merugikan negara.

Ini bermakna masa depan negara tidak boleh dibina atas konfrontasi politik yang berterusan tetapi hala tujunya itu akan ditentukan oleh sejauh mana kita berjaya membina Malaysia untuk generasi akan datang.

Pengamal pasaran pasaran modal tempatan, Foo Lee Khean  berkata, negara  perlu meningkatkan produktiviti, menarik pelaburan berkualiti tinggi, mengukuhkan nilai ringgit, mewujudkan pekerjaan dengan gaji yang lebih baik serta mempercepatkan peralihan ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan.

“Transformasi Malaysia menjadi salah satu ekonomi paling pelbagai di Asia Tenggara bukan boleh dicapai melalui pertikaian politik yang tidak berkesudahan tetapi ia dicapai melalui dasar-dasar yang menggalakkan pelaburan, pembangunan infrastruktur, perindustrian dan pengembangan ekonomi.

“Kita pernah mempunyai sebuah wawasan yang mana jika Malaysia benar-benar serius untuk menjadi negara berpendapatan tinggi, kita mesti mewujudkan persekitaran di mana kedaulatan undang-undang ditegakkan tanpa rasa takut atau pilih kasih, institusi dipercayai rakyat dan reformasi tadbir urus dilaksanakan dengan cara yang mengukuhkan keyakinan, bukannya memperdalamkan perpecahan politik,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, persepsi dan keyakinan adalah sama penting kerana perniagaan membuat keputusan pelaburan adalah berdasarkan kepada keyakinan.

Begitu juga pelabur yang menyalurkan modal juga berdasarkan keyakinan, usahawan mewujudkan peluang pekerjaan berdasarkan keyakinan malah pengguna berbelanja juga berdasarkan keyakinan.

“Apabila keyakinan terhakis akibat persepsi ketidaktentuan atau sasaran politik, kesannya terhadap ekonomi boleh menjadi sangat besar,” ujarnya.

Terdapat juga isu di mana kebimbangan golongan muda terhadap kesukaran untuk  memiliki rumah dan juga pertumbuhan gaji.

Ramai juga isi rumah masih bergelut dengan kesan rasionalisasi subsidi, tekanan inflasi dan peningkatan kos kehidupan, jadi tenaga dan tumpuan negara seharusnya diarahkan kepada usaha menangani isu-isu ini.

“Kejayaan terbesar Malaysia sentiasa dicapai apabila pemimpinnya memberi tumpuan kepada pembinaan negara, bukannya menyelesaikan dendam politik,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan usaha membanteras rasuah perlu dilaksanakan secara telus, konsisten dan berasaskan institusi.

Malaysia kini berada di persimpangan penting yang mana negara ia mempunyai peluang untuk membina masa depan yang lebih kukuh, lebih berdaya saing dan lebih makmur.  -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |