KULAI – DAP buat pertama kali mempertaruhkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 dengan meletakkan Mohamad Syafwan Ani sebagai calon Pakatan Harapan (PH).
Pemilihan calon Melayu itu dilihat sebagai strategi parti untuk mendekati pengundi di kawasan berkenaan yang mempunyai majoriti pengundi Melayu selain memperkukuhkan sokongan di kerusi berkenaan.
Mohamad Syafwan bukan nama asing di Bukit Permai kerana beliau sebelum ini berkhidmat sebagai pembantu khas Ahli Parlimen Kulai serta aktif bergerak di kawasan tersebut sejak beberapa tahun lalu.
Timbalan Pengerusi PH, Anthony Loke Siew Fook berkata, pemilihan Mohamad Syafwan dibuat berdasarkan pengalaman serta penglibatan aktif beliau di peringkat akar umbi.
Menurut beliau, faktor mengenali masyarakat setempat dan pengalaman berkhidmat di kawasan itu menjadi antara pertimbangan utama dalam menentukan calon.
Selain Bukit Permai, Anthony Loke turut mengumumkan penyandang DUN Senai, Wong Bor Yang sekali lagi diberi kepercayaan mempertahankan kerusi berkenaan selepas mempunyai pengalaman berkhidmat di kawasan tersebut serta rekod perkhidmatan kepada masyarakat setempat.
“Kita memerlukan calon yang bukan sahaja dikenali masyarakat, tetapi telah lama turun padang dan memahami keperluan penduduk di kawasan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas ditemui pemberita selepas Majlis Pengumuman Calon Bukit Permai dan Senai di Bilik Gerakan PH Senai di sini hari ini.
Anthony Loke yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, parti itu menyasarkan kemenangan di ketiga-tiga DUN di bawah Parlimen Kulai iaitu Senai, Bukit Batu dan Bukit Permai pada PRN kali ini.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, DAP Johor akan mempertaruhkan seramai 17 calon pada PRN Johor kali ini membabitkan tiga calon Melayu, dua calon India dan 12 calon daripada kaum Cina.
Menurutnya, barisan calon kali ini turut menampilkan lebih ramai wanita sebagai usaha memperkukuhkan penyertaan golongan itu dalam politik parti.
Setakat ini sebahagian calon telah diumumkan manakala calon selebihnya akan diumumkan oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Pengumuman Calon PH PRN Johor Ke-16 di Padang Bukit Gambir Extreme Park, Bukit Gambir, Tangkak pada Isnin ini. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
2









![[VIDEO] Pelajar jatuh bangunan: Mangsa minta ke tandas sebelum ditemui maut](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/WhatsApp-Image-2026-06-19-at-9.25.01-PM.jpeg)






































