SEREMBAN – Tiada unsur buli atau gangguan lain dikenal pasti dalam kes seorang pelajar perempuan tingkatan empat yang maut dipercayai terjatuh dari tingkat tiga sebuah bangunan sekolah menengah di Sendayan, pagi tadi.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, hasil keterangan ibu mangsa, pelajar tersebut hadir ke sekolah pagi tadi dalam keadaan baik dan tidak menunjukkan sebarang perubahan tingkah laku.
“Bagaimanapun, saya sudah mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), pejabat pendidikan daerah dan pihak sekolah meneliti kes ini secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar yang membawa kepada kejadian berkenaan,” katanya selepas menziarahi keluarga mangsa bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau malam ini.
Menurutnya, kejadian itu berlaku ketika sekolah mengadakan program pelaporan pencapaian akademik pelajar yang turut dihadiri ibu bapa.
“Bapa mangsa juga berada di sekolah berkenaan. Takdir menentukan sewaktu bapanya datang ke kelas arwah minta izin keluar kelas untuk ke tandas dan kemudian kemalangan ini berlaku,” katanya.
Mohd Azam berkata, KPM bersama JPNS akan menyediakan sokongan psikososial kepada ahli keluarga mangsa, rakan sekelas dan guru yang terkesan dengan tragedi itu.
Beliau berkata, keluarga mangsa menerima kejadian itu dengan reda dan berharap orang ramai mendoakan kesejahteraan arwah.
Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu kira-kira pukul 10.48 pagi sebelum sepasukan pegawai dan anggota polis digerakkan ke lokasi.
“Polis turut menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian serta mengenal pasti beberapa individu yang boleh membantu siasatan.
“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Rembau untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

4 hours ago
6
















































![[VIDEO] Ramai rupanya ‘rider’ jadi mangsa sambung jalan di MRR2](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-20-at-1.47.35-PM.jpeg)