PETALING JAYA – Positif menggalas status ibu tunggal, penyanyi Kaka Azraff yakin perjalanan hidupnya bersama tiga permata hatinya akan dipermudahkan Allah berkat doa serta sokongan insan sekeliling.
Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff 36, berkata walaupun tiada lagi orang tua untuk mengadu nasib, dia berasa bertuah dapat menumpang kasih ibu dan bapa saudara yang menjadi tempat berpaut.
“Dalam fasa ini sememangnya kita perlukan ibu dan bapa di sisi. Orang tua saya sudah tiada tetapi saya mempunyai makcik serta pakcik yang selalu jadi tempat rujukan saya.
“Sebelum mengambil keputusan berpisah pun kita dapatkan pandangan keluarga terdekat dan mereka juga merupakan insan yang buatkan kita terus bersemangat untuk kembali berdiri demi anak-anak.
“Macam ibu saudara saya, Ella, dia kata pada saya bahawa Allah ada perancangan lebih baik untuk saya, bangkitlah. Kata-katanya itu melekat kuat dalam ingatan saya,” katanya kepada HibGlam.
Mengakui semakin tenang, Kaka yang baru seminggu melepasi tempoh idah berkata, keutamaannya dan bekas suami adalah kesejahteraan ketiga-tiga putera mereka.
Akuinya, demi anak-anak membesar dengan sempurna dia serta bekas suami, Adam Azriff sanggup mengenepikan ego masing-masing.
“Walaupun jodoh kami setakat ini, anak -anak adalah segala-galanya. Yang putus hanya ikatan kami tetapi tanggungjawab terhadap mereka merupakan amanah hingga ke akhir hayat,” ujarnya.
Ditanya sama ada tercetus penyesalan apabila kembali bercerai selepas rujuk ketika dalam tempoh idah pada Oktober 2023, ulas Kaka, dia sudah berusaha sehabis baik sekali gus mahu terus melangkah ke depan.
“Sejujurnya saya semakin tenang. Kalau dulu sedih dan menangis. Mungkin kerana sekarang saya dah bersedia. Ya, tiada penyesalan. Mungkin kami hanya sesuai jadi kawan.
“Kita bukan dalam fasa menunding jari, kita sudah buka buku baharu. Kita ‘move on’. Perpisahan ini juga memanusiakan saya. Paling penting sekarang adalah kena kuat lagi bekerja untuk anak-anak,” kongsinya.
Terus optimis untuk kembali aktif di arena muzik, penyanyi lagu Bawaku Pergi itu juga merancang merealisasikan konsert solo pertamanya akhir tahun ini.
Bakal berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, persembahan mega yang dianggarkan membabitkan kehadiran 5,000 penonton itu kini masih dalam fasa perancangan.
“Selain lagu baharu dengan seorang rakan, projek besar saya tahun ini adalah konsert sulung. Ini juga merupakan usaha syarikat seorang bapa saudara saya.
“Insya-Allah jika tiada aral projek ini dapat direalisasikan kerana saya pernah beberapa kali mengadakan persembahan di sana,” ujarnya.
Terdahulu, Kaka dan Adam yang mendirikan rumah tangga pada 14 Disember 2018 itu bercerai kali kedua di Mahkamah Rendah Syariah Shah pada 4 Jun lalu.
Pasangan terbabit pernah bercerai pada 28 Oktober 2024 sebelum mengambil keputusan untuk rujuk semula pada awal tahun 2025.
Perkahwinan mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aslan, 7, Aryan, 5, dan Atta Adam yang kini berusia dua tahun. – KOSMO! ONLINE

6 hours ago
4
![[VIDEO] Pelajar jatuh bangunan: Mangsa minta ke tandas sebelum ditemui maut](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/WhatsApp-Image-2026-06-19-at-9.25.01-PM.jpeg)















































![[VIDEO] Ramai rupanya ‘rider’ jadi mangsa sambung jalan di MRR2](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-20-at-1.47.35-PM.jpeg)