MARAN – Hanya tinggal tujuh hari sebelum bergelar isteri, seorang wanita maut bersama adiknya dalam kemalangan jalan raya di Jalan Sungai Gau berhampiran Batu 6 di sini petang semalam.
Mangsa, Dinie Hanis Noor Azlan Efenddy, 23, meninggal dunia bersama adiknya, Dinie Nasuha Noor Azlan Efenddy, 19, ketika terlibat kemalangan ketika perjalanan dari rumah mereka di Sungai Gau ke Bandar Tun Abdul Razak Jengka untuk berniaga mochi dan minuman Vietnam Gold di Dataran Jam.
Lebih memilukan, segala persiapan perkahwinan Dinie Hanis yang dijadualkan berlangsung pada 26 Jun ini di Hotel Green Park Temerloh telah siap sepenuhnya termasuk pakaian pengantin, tempahan dewan dan kad jemputan yang sudah diedarkan.
Bakal suaminya, Muhammad Alif Iskandar Azhar, 24, berkata, pertemuan terakhir mereka tiga hari lalu di Temerloh kini menjadi kenangan yang tidak mungkin dilupakan.
Menurut anggota tentera itu, mereka bertemu bagi sesi mencuba pakaian pengantin yang bakal dipakai pada majlis pernikahan dan persandingan minggu depan.
“Arwah sangat gembira hari itu. Walaupun warna kegemarannya merah jambu, dia memilih pakaian pengantin berwarna putih dan kelihatan begitu teruja apabila mencubanya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Jengka hari ini.
Katanya, sebelum kembali bertugas di Kuala Lumpur, beliau menghantar tunangnya pulang ke rumah dan melihat arwah berdiri lama di hadapan rumah sambil memandang ke arahnya.
“Saya nampak dia menitis air mata dan merenung lama pakaian pengantin yang baru diambil itu. Saya sangka dia sedih kerana kami akan berjauhan beberapa hari sebelum majlis berlangsung, tetapi rupa-rupanya itu pandangan terakhir saya terhadapnya,” katanya.
Menurutnya, mereka mula berkenalan pada 2019 sebelum mengikat tali pertunangan kira-kira lapan bulan lalu dan hanya menunggu beberapa hari lagi untuk disatukan sebagai suami isteri.
Sementara itu, bapa saudara mangsa, Wan Mohd. Syafik Wan Abdul, 32, berkata, beliau antara individu terawal tiba di lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada orang awam.
Katanya, orang awam yang menemui kad jemputan perkahwinan Dinie Hanis di lokasi kejadian telah menghubungi ahli keluarga melalui nombor telefon yang tertera pada kad berkenaan.
“Masa itu hujan sangat lebat. Saya terus bergegas ke lokasi dan apabila sampai, saya terduduk apabila mengetahui mangsa adalah anak saudara saya sendiri yang bakal bernikah minggu depan,” katanya.
Menurutnya, beberapa jam sebelum tragedi itu berlaku, keluarga masih berbincang mengenai persiapan terakhir majlis perkahwinan berkenaan yang telah siap sepenuhnya.
Seorang lagi saudara mangsa, Mohd. Murni Muhammad Zain, 44, dari Kota Bharu berkata, panggilan yang diterima kira-kira pukul 8 malam benar-benar mengejutkan keluarga yang ketika itu masih menguruskan jemputan perkahwinan.
“Kad jemputan yang diedarkan untuk mengundang saudara-mara ke majlis perkahwinan akhirnya menjadi petunjuk kepada ahli keluarga mengenai tragedi yang menimpa arwah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

1 hour ago
2









![[VIDEO] Pelajar jatuh bangunan: Mangsa minta ke tandas sebelum ditemui maut](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/WhatsApp-Image-2026-06-19-at-9.25.01-PM.jpeg)






































