BENIH udang karang bernilai RM13 juta yang cuba diseludup ke negara jiran berjaya dirampas PPM Wilayah Dua Johor di sebuah jeti haram di Tanjung Belungkor, Kota Tinggi, semalam. Foto IHSAN PPM
- Oleh MASTURAH SURADI
- 25 April 2026, 5:25 pm
KOTA TINGGI – Cubaan menyeludup ratusan ribu benih udang karang bernilai RM13 juta ke negara jiran berjaya dipatahkan dalam serbuan awal pagi semalam oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor di sebuah jeti haram di Tanjung Belungkor, di sini.
Komander PPM Wilayah dua Johor, Asisten Komisioner Noor Azman Jamal berkata, pegawai dan anggota dari unit risikan marin Johor dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Johor telah melakukan serbuan ke atas sebuah lori di jeti haram itu kira-kira pukul 6.30 pagi.
“Seramai tiga lelaki berusia 31 hingga 57 tahun telah ditahan di lokasi kejadian. Hasil pemeriksaan ke atas lori telah menjumpai 124 kotak gabus putih dengan jumlah keseluruhan benih sebanyak anggaran 671,600 ekor dipercayai mahu di seludup ke Singapura
“Hasil soal siasat ke atas suspek mengaku benih udang karang akan diseludup ke negara jiran itu melalui laut. Suspek juga gagal menunjukkan sebarang dokumen kebenaran yang sah. Nilai rampasan keseluruhan RM13,582,000.00,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noor Azman berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 40 Akta Perikanan 1985. – KOSMO! ONLINE

4 hours ago
2
















































