PETALING JAYA – Penyanyi Adira Suhaimi menegaskan tindakannya menyekat nombor telefon bekas suami, Datuk Red adalah bagi menjaga kestabilan emosinya.
Adira, 35, berkata, segala urusan yang berkaitan Datuk Red atau nama sebenarnya, Adnan Abu, dia sendiri perlu berhubung dengan pembantu rumah dan adik-beradiknya yang lain.
“Saya sekat nombor dia sebab nak menjaga emosi.
“Saya tahu dia tidak bersetuju perlu melalui orang tengah seperti bibik (orang gaji) atau abang saya ke.
“Kami juga tahu mulut masing-masing suka bertekak, kalau terus berbalas mesej — risau timbul pergaduhan. Jadi, begitulah kalau berbalas-balas pun takkan habis perkara ini,” katanya kepada Kosmo! Online.
Katanya, dia pernah menyahsekat bekas suami tetapi terpaksa menarik semula tindakan tersebut kerana enggan situasi kembali menganggu emosi.
“Bila dah tetapkan untuk sekat, saya memang fokus kerja dan anak-anak. Sebenarnya saya pernah beberapa kali ‘block’ dan ‘unblock’ sebelum ini.
“Namun, bila saya ‘unblock’, hati dan emosi saya pula yang tak terjaga.
“Bukannya apa, kadang-kadang kita cuba nak selesaikan benda ini elok-elok tetapi tak seperti diharapkan. Jadi lebih baik sekat saja,” katanya lagi.
Adira bagaimanapun memberitahu Datuk Red masih boleh boleh berhubung dan bertemu anak-anak mereka sehingga hari ini.
“Saya tidak pernah menyekat dia untuk berjumpa, ambil dan bermalam dengan anak. Sekalipun tidak pernah.
“Sebulan sekali pasti dia akan ambil sebab itu memang tanggungjawab sebagai bapa dan saya sangat bersyukur kalau dia masih nak ambil tahu pasal anak-anak.
“Sebab ramai saja orang di luar sana tak dapat pun tengok anak dan ada juga ayah yang tak nak tengok pun,” ujarnya.
Pada 23 April lalu, mahkamah menangguh prosiding pengesahan lafaz rujuk yang difailkan Datuk Red terhadap Adira pada 25 Jun depan.
Adira juga turut mendedahkan Adnan mengemukakan beberapa syarat termasuk meminta wang berjumlah RM100,000 sekiranya mahu dia membatalkan pengesahan rujuk tersebut namun dinafikan lelaki terbabit.
Adnan sebelum ini memberitahu tindakannya memfailkan pengesahan lafaz rujuk bukan disebabkan masih berharap dapat kembali kepada bekas isterinya sebaliknya bagi memastikan sama ada perkara yang berlaku sah mengikut hukum atau sebaliknya selain menepis dakwaan dirinya ‘gila talak’.
Sementara, Adira pula menafikan dakwaan berlaku lafaz rujuk dengan Red yang didakwa berlaku pada Mei 2024.
Untuk rekod, Red dan Adira mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2015 namun perkahwinan berakhir dengan perceraian pada 24 April 2024.
Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5, dan Ayob, 3. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
2
















































