‘Dicop jahat pun tak mengapa, itu sekadar lakonan’

10 hours ago 3

LEBIH sedekad menceburi arena seni, pelakon Chacha Maembong banyak membawakan watak wanita tersakiti dalam puluhan drama serta filem yang dibintanginya.

Namun entah mengapa katanya, penonton lebih mengingati karakter antagonis sehingga namanya kental dengan watak sedemikian.

Bagi Chacha atau nama lengkapnya Siti Aishah Ismail, 29, baik watak gelap mahupun protagonis, penerimaan peminat merupakan tanda lakonannya memberi impak.

“Saya tak kisah pun kalau penonton kenal saya menerusi watak antagonis dalam drama. Dicop jahat pun tak mengapa kerana itu sekadar lakonan.

“Kepuasan bagi seseorang pelakon adalah apabila penjiwaan mereka meninggalkan kesan. Itu paling penting bagi kami.

“Jika orang tak ingat lagi membimbangkan. Sebagai pelakon kita kena berbuat sesuatu,” katanya kepada HibGlam.
Bercerita lanjut, selaku anak seni dia tidak pernah memilih watak kerana baginya setiap karakter penting dalam alur cerita sesebuah naskhah.

Tidak memilih

Walaupun bukan tunjang utama dan sekadar muncul dalam beberapa babak, Chacha tetap memberikan 100 peratus komitmen.

“Siapa saya nak pilih watak. Kalau ditawarkan karakter sampingan pun saya sedia lebih-lebih lagi jika skripnya bagus.

“Seorang pelakon yang baik tentu sahaja boleh sampaikan mesej menerusi watak yang diamanahkan. Jadi tiada alasan untuk tolak tawaran,” ujarnya.

Mengenai naskhah terbaharunya, adik kepada pelakon Emma Maembong itu mengakui teruja dapat beraksi dalam drama Dendam Seorang Mentua.

Bergandingan dengan bintang senior, Datuk Yusry Abdul Halim, katanya naskhah yang bakal menemui penonton pada 4 Mei nanti menerusi Astro Prima sememangnya dinantikan.

“Sebenarnya sudah enam tahun saya tak bawa watak antagonis. Beberapa tahun kebelakangan ini saya lebih banyak diberikan karakter wanita dizalimi, menangis dan terseksa.

“Dendam Seorang Mentua bukan sahaja naskhah bagus, malah menghimpunkan ramai bintang hebat termasuk Datuk Yusry sebagai watak utama.

“Dalam cerita ini watak saya tidak ditonjolkan hitam sepenuhnya, tetapi jahat dalam bertindak. Memang wajib tonton,” kongsinya.
Selain Yusry dan Chacha Maembong, Dendam Seorang Mentua turut dibintangi Tracie Sinidol, Datuk Aaron Aziz, Hariz Hamdan dan Intan Ladyana.

Read Entire Article
Pertanian | | | |