Piala Dunia Trek: Kesilapan taktikal punca Aisyah tersingkir

21 hours ago 8

NILAI – Pelumba endurance wanita negara, Nur Aisyah Zubir mengakui kesilapan sendiri menjadi punca kegagalannya memberi saingan apabila sekadar menamatkan perlumbaan elimination di kedudukan ke-21 pada Piala Dunia Trek UCI 2026 di Velodrom Nasional Malaysia hari ini.

Pemenang pingat emas Sukan SEA Thailand 2025 dilihat tidak berada pada prestasi terbaik meskipun berjaya melepasi pusingan kelayakan pada sebelah pagi.

Pelumba berusia 29 tahun itu mengakui kurang berpuas hati dengan pencapaiannya kali ini selepas merasakan tenaganya mencukupi untuk memberi saingan bersama pelumba terbaik dunia.

“Saya kurang puas hati sebab mungkin silap saya sendiri. Saya leka sedikit tadi. Saya fikir perlu berada di depan, tetapi saya leka apabila semua pelumba bergerak laju,” katanya sejurus tamat perlumbaan.

Menurutnya, kesilapan dari segi taktikal serta kedudukan di dalam kelompok pelumba turut menyumbang kepada keputusan kurang memberangsangkan itu.

“Saya mungkin tersilap dari segi teknik dan berada terlalu di belakang, menyebabkan sukar untuk kembali ke kelompok hadapan,” tambahnya.

Pingat emas acara tersebut dimenangi pelumba Norway, Anita Yvonne Stenberg yang mempamerkan kayuhan konsisten sepanjang perlumbaan.

Tempat kedua menjadi milik Yareli Acevedo Mendoza dari Mexico, manakala gangsa diraih Lara Gillespie.

Dalam perkembangan sama, pelumba lelaki negara, Muhammad Hafiq Mohd Jafri turut berdepan nasib kurang baik apabila menamatkan saingan di kedudukan ke-18.

Hafiq berdepan cabaran sengit dalam perlumbaan berintensiti tinggi itu sebelum tersingkir di peringkat awal, sekali gus gagal memberi cabaran kepada kelompok hadapan.

Pingat emas dimenangi pelumba Rusia, Ilya Savekin yang tampil dominan sepanjang perlumbaan. Tempat kedua menjadi milik Alvaro Navas Marchal, manakala gangsa diraih pelumba Itali, Matteo Fiorin. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |