Pelajar tingkatan dua ‘lumba haram’ menangis dicekup polis

9 hours ago 3

KOTA BHARU – Seorang pelajar tingkatan dua menangis teresak-esak minta dilepaskan sebaik sahaja ditahan polis yang menjalankan sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Pengkalan Chepa di sini semalam.

Remaja tersebut merupakan antara salah seorang daripada lapan pelajar sekolah berusia 14 dan 15 tahun yang ditahan dalam SJR bermula pukul 6.30 petang itu selepas didapati berlumba dan menunggang motosikal secara berbahaya.

Hazwan Ali, 14, berkata, dia yang hanya membonceng motosikal jenis Yamaha Ego yang ditunggang rakannya mengakui terlalu takut selepas ditahan polis.

Dakwanya, dia bersama rakan-rakan yang lain masing-masing menunggang motosikal secara berkumpulan sedang dalam perjalanan dari Pengkalan Chepa untuk minum di sebuah kompleks beli-belah di Lembah Sireh di sini.

“Kawan saya yang menunggang motosikal tidak sempat meloloskan diri selepas dimaklumkan oleh rakan-rakan lain yang terlebih dahulu melihat SJR.

“Saya tidak mampu berkata apa-apa sebaik sahaja ditahan polis. Saya terlalu takut dan terus menangis,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di sini semalam.

Hazwan memberitahu, dia akan bermalam di rumah datuknya di Taman Uda Murni, Pengkalan Chepa di sini pada setiap Jumaat untuk memudahkan urusan melepak bersama rakan-rakan pada malam hujung minggu.

Seorang lagi remaja yang dikenali mahu dikenali sebagai Ariff Zakaria, 15, berkata, dia tinggal di Mulong di sini dan menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 yang dibeli ibunya.

Menurutnya, dia menerima lima saman atas kesalahan mengubah suai motosikal dan tidak mempunyai lesen memandu.

“Saya tidak sempat lari semasa melalui kawasan SJR. Saya sangat sedih apabila motosikal yang dibeli oleh ibu disita pihak polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Azmir Damiri berkata sebanyak 23 motosikal disita selepas memeriksa seramai 152 individu dalam operasi tersebut.

Menurutnya, seramai 150 individu ditahan atas pelbagai kesalahan trafik dalam operasi itu termasuk lapan remaja berusia 14 dan 15 tahun.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |