PPIM bantah cadangan import babi hidup di Pelabuhan Klang

8 hours ago 5

PETALING JAYA – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membantah keras cadangan untuk membawa masuk semula ternakan babi hidup melalui Pelabuhan Klang.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan berkata, pengurusan dan pengendalian babi hidup secara terbuka di kawasan pelabuhan bukan sahaja mewujudkan risiko pencemaran alam sekitar, malah menyentuh sensitiviti umat Islam khususnya pekerja pelabuhan dan penduduk berhampiran.

Menurutnya, PPIM mengambil maklum bahawa aduan rasmi dikemukakan berulang kali kepada pihak berkuasa dan agensi berkaitan, namun tiada tindakan konkrit diambil sehingga kini.

“Proses pemindahan haiwan tersebut dilihat amat kotor, tidak sistematik dan tidak mengikut piawaian sanitasi yang ketat.

“Antara isu paling kritikal dikenal pasti adalah tindakan melepaskan air kumbahan serta sisa buangan daripada aktiviti pemindahan haiwan tersebut secara terus ke dalam laut, sekali gus berisiko tinggi mencemarkan ekosistem perairan di sekitar pelabuhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, PPIM menekankan bahawa isu kebersihan dan keterjaminan halal di Pelabuhan Klang perlu diberi perhatian serius oleh pihak pengurusan dan kerajaan.

Katanya, sebagai pintu masuk utama perdagangan negara yang mengendalikan pelbagai barangan serta produk makanan halal tempatan mahupun antarabangsa, integriti rantaian bekalan tidak boleh dikompromi.

“Hasil pemantauan mengesahkan bahawa kawasan laluan serta kemudahan yang digunakan untuk memindahkan ternakan babi tersebut tidak pernah disamak mengikut syariat Islam selepas proses pengendalian selesai.

“Situasi ini amat membimbangkan kerana produk makanan halal lain turut menggunakan laluan, fasiliti, serta peralatan yang sama semasa proses pemuatan dan penurunan barangan.

“Ini secara langsung menimbulkan keraguan munasabah terhadap integriti rantaian bekalan makanan halal yang melalui pelabuhan berkenaan,” katanya.

Nadzim berkata, operasi pengimportan babi hidup dari Sarawak yang pernah dijalankan sebelum ini terbukti menimbulkan pencemaran bau yang teruk, isu kebersihan serta ketidakselesaan berpanjangan.

“Percubaan untuk menghidupkan semula aktiviti ini bukan sahaja mengembalikan ancaman pencemaran, malah mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat Islam di Selangor.

“PPIM turut mempersoalkan kewajaran membawa masuk haiwan hidup dari Sarawak sedangkan bekalan daging babi sejuk segar dari Thailand sudah dibenarkan masuk secara berterusan,” ujarnya.

Beliau berkata, sekiranya bekalan dari Sarawak masih diperlukan, PPIM mencadangkan supaya pengimportan sepatutnya dibuat dalam bentuk daging yang sudah diproses atau sejuk beku, bukan haiwan hidup.

Tambah beliau, PPIM turut mendesak Kerajaan Selangor meneliti semula kewajaran operasi rumah sembelih babi di Rawang, sejajar dengan langkah penutupan ladang babi di seluruh Selangor yang dijadualkan selesai sepenuhnya menjelang Julai 2026. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |