MELAKA – Selepas hampir sebulan diburu, seekor buaya tembaga jantan sepanjang 2.16 meter akhirnya berjaya ditangkap di Empang 25, Kampung Kandang, Sungai Duyong di sini.
Reptilia seberat kira-kira 35 kilogram itu terjerat dalam perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka sejak Julai lalu.
Pengarah Perhilitan Melaka, Nurshirah Mustapha berkata, tindakan memasang perangkap dilakukan susulan pelbagai aduan mengenai kemunculan buaya berkenaan di kawasan tersebut.
Katanya, pihaknya menerima aduan orang ramai menerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman pada 27 Julai lalu.
“Susulan aduan itu, pasukan Perhilitan Melaka menjalankan pemantauan sebelum memasang perangkap buaya di kawasan berkenaan.
“Operasi itu akhirnya berjaya menjerat seekor buaya tembaga jantan berukuran 2.16 meter panjang dengan anggaran berat 35 kilogram,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Nurshirah, reptilia tersebut dikenal pasti berada dalam kategori sub-adult, iaitu peringkat perantara antara anak buaya dengan buaya dewasa.
Tambahnya, kejayaan menangkap haiwan liar itu merupakan hasil pemantauan dan tindakan susulan berterusan pasukan Perhilitan Melaka.
“Operasi turut dilaksanakan dengan kerjasama wakil rakyat serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kawasan berkenaan,” ujarnya.
Sementara itu, Rahmad berkata, penangkapan buaya tersebut melegakan penduduk berhampiran yang sebelum ini bimbang dengan kemunculan reptilia berkenaan.
Katanya, kehadiran buaya itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk, khususnya mereka yang tinggal dan menjalankan aktiviti berhampiran empang tersebut.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perhilitan Melaka dan semua pihak yang terlibat dalam operasi berkenaan sehingga reptilia itu berjaya ditangkap.- KOSMO! ONLINE

1 day ago
11

















![[KEMASKINI] Identiti mangsa dalam Bezza dihempap lori tangki masih belum diketahui](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/LORI-TANGKI-KEBAKARAN.jpeg)

![[VIDEO] Lebih 15 kucing terbiar di rumah rakit Pulau Ketam](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/KUCING-KELONG-PULAU-KETAM.jpg)




























![[VIDEO] ‘Rehatlah Nurfisya, kau dah bahagia di tempat tiada air mata’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/0730d2ac-3c53-4ff9-bbf6-fe7478da8c6b.jpeg)