KUALA LUMPUR – Tonggak utama skuad sepak takraw negara, Mohamad Azlan Alias disahkan mengalami keretakan tulang siku kiri dan bakal direhatkan selama dua bulan.
Perejam muda negara itu mengalami kecederaan tersebut ketika melakukan rejaman pada aksi final regu berpasukan menentang Thailand pada Kejohanan Sepaktakraw Piala Asia Kuala Lumpur 2025, Ahad lalu.
Kecederaan itu berpunca daripada hentakan kuat ketika terjatuh dan hasil imbasan X-ray oleh doktor Institut Sukan Negara (ISN) pagi tadi mengesahkan berlaku mengalami keretakan tulang.
“Mohamad Azlan Alias mengalami keretakan tulang setelah membuat pemeriksaan pada pagi ini.
“Beliau dinasihatkan dan dijangka akan berehat selama dua bulan oleh doktor. Semoga beliau cepat sembuh,” kata kenyataan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) di Facebook rasmi mereka, hari ini.
Menariknya, dalam aksi dramatik final Piala Asia itu, Azlan tetap meneruskan perlawanan sehingga tiga set permainan walaupun menahan kesakitan demi negara.
Beliau yang bergandingan dengan Mohammad Syahir Rosdi (tekong) dan Amirul Zazwan Amir (pengumpan), mengheret perlawanan ke set ketiga sebelum tewas 11-15, 15-12, 15-17 kepada trio Thailand, Jakkrit Thinbangbon, Sutthikiart Panseankaew dan Wuttinun Kamsanor.
Kecederaan itu kini menimbulkan tanda tanya besar mengenai penyertaan Azlan menjelang Piala Raja Thai 2025 yang dijadual berlangsung dari 20 hingga 30 Julai ini.
Difahamkan, Azlan akan menjalani fisioterapi dan rawatan intensif dalam tempoh dua bulan ini, namun kemampuannya untuk pulih sepenuhnya masih bergantung kepada laporan perubatan terkini.
Lebih membimbangkan, skuad negara turut kehilangan seorang lagi perejam muda, Khairul Aman Rosdi, yang mengalami kecederaan dalaman dan sedang dalam proses pemulihan. — KOSMO! ONLINE