MEKAH – Lembaga Tabung Haji (TH) akan melaksanakan badal haji buat dua jemaah Malaysia yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada Jumaat dan semalam di sini.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd. Hisham Harun berkata, TH berasa dukacita dengan kejadian menimpa Allahyarhamah Norizan Tambonan Nordin, 47, dan Allahyarham Abdullah Mat, 59.
“Kedua-dua jenazah telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Syariee, di sini. TH akan melaksanakan badal haji buat arwah-arwah pada musim haji tahun ini.
“TH dan seluruh jemaah haji Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada keluarga serta waris selain mendoakan agar segala amal ibadat mereka berdua diterima Allah SWT,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Dalam perkembangan berbeza, katanya, seramai 141 jemaah haji negara menerima rawatan di Pusat Rawatan TH dan Hospital Arab Saudi melibatkan masalah saluran pernafasan, penyakit (ENT) telinga, hidung dan tekak, penyakit tulang dan otot, penyakit kulit dan penyakit gastrointestinal.
“Daripada jumlah tersebut 12 menerima rawatan di Hospital Arab Saudi dengan masing-masing seramai lapan orang di Mekah dan empat di Madinah.
“Sukacita juga dimaklumkan bahawa Pusat Rawatan TH di Madinah sudah mendapat kelulusan permit (Tasrih) daripada Kementerian Kesihatan Arab Saudi yang diselaraskan oleh pihak Hospital Saudi German,” katanya.
Jelasnya, Malaysia merupakan negara ketiga yang mendapat kelulusan beroperasi bagi sektor Madinah.
“Kerjasama strategik dengan Hospital Saudi German bermula pertama kali tahun ini untuk memenuhi syarat Kerajaan Arab Saudi yang mewajibkan semua Rombongan Rasmi Haji melantik syarikat penyedia perkhidmatan kesihatan swasta tempatan bagi mendapat kelulusan membuka Pusat Rawatan dan klinik,” katanya. – KOSMO! ONLINE