PETALING JAYA – Kesunyian akibat tidak mempunyai rakan di tempat kerja yang dialami seorang individu mencetuskan perbincangan hangat oleh pengguna media sosial.
Bercerita menerusi platform NGL kepada akaun @Ammarfaris, meluahkan perasaan bahawa dia memerlukan semangat untuk terus bekerja selain menyatakan niat untuk berhenti kerja meskipun tiada masalah dari segi gaji, majikan, kediaman atau sebagainya.
“Tolong motivate (beri dorongan) kepada aku, gaji not bad (boleh tahan), rumah dekat, majikan baik. Satu sahaja, aku tiada kawan rapat di sini.
“Makan tengah hari seorang diri, kalau tertekan pun meroyan sahaja seorang diri. Aku tak sangka bila tiada kawan ini lagi kuat rasa nak resign (letak jawatan),” luahnya menerusi platform tersebut.
Kebanyakan netizen di ruangan komen menyifatkan individu tersebut tidak menghargai segala kebaikan yang dimiliki memandangkan ia merupakan impian bagi setiap pekerja di syarikat lain.
“Dalam erti kata lain, selalukan bersyukur. Jangan fikir yang kita tidak dapat sahaja. Fikir juga perkara yang kita sudah ada dalam masa sama fikir juga perjalanan kita nak dapat yang kita ada sekarang macam mana. Jadi, bersyukur,” kata @Haziqhiyatullah.

“Circle (sekeliling) kita tidak akan bertahan lama. Kalau kau letak jawatan sekadar sebab tiada kawan. Kau rugi, sebab yang kau ada itu, beribu orang nak tapi bukan rezeki,” balas @Ujangkhairullah.
Sementara itu, ramai juga yang berpendapat masalah dihadapi individu berkenaan sebenarnya tidak terlalu besar dan mencadangkannya melakukan aktiviti yang tiada kaitan dengan tempat kerjanya itu.
“Kawan boleh cari, pergi masjid, pergi gim, pergi bersenam boleh cipta kawan-kawan, tetapi bos baik, gaji baik, tempat tinggal dekat, belum tentu boleh dapat. Ada kawan pun dapat yang jenis toksik pun tiada guna juga. Jadi baik tak berkawan janji hidup sejahtera,” ujar @Syafiqsafwan.
“Pergi join (sertai) program di luar. Banyak sangat program seperti berkhemah, unggun api, sukan. Saya ini lebih minat seorang, itu yang berlatih tinju seorang diri di rumah,” komen @Ajai. – KOSMO! ONLINE