PETALING JAYA – Beberapa sistem dalam talian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah berjaya dipulihkan sepenuhnya selepas agensi itu mengalami gangguan teknikal, baru-baru ini.
DBKL dalam kenyataan berkata, bagi sistem lain sedang dipulihkan secara berperingkat dan dijangka beroperasi seperti biasa pada 23 Mei (Jumaat) ini.
“Perkhidmatan dalam talian DBKL seperti Adu@KL, e-perumahan, e-lesen, Tempah@KL, e-dog, i-clinic, eKlinik, Sistem Penilaian dan Pengurusan Harta (SPPH) serta Sistem Penguatkuasaan Jabatan (SPJ) untuk urusan kompaun.
“Portal DBKL, PSKL 2040, VISITKL, sistem emel DBKL dan EPIC iaitu sistem pembayaran telah berjaya dipulihkan serta kembali beroperasi seperti biasa,” kata kenyataan itu hari ini.
DBKL menjelaskan bahawa siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden yang menjejaskan operasi beberapa sistem perkhidmatan mereka.
“DBKL ingin menegaskan bahawa tiada sebarang tuntutan tebusan terlibat dalam kejadian gangguan teknikal ini,” ujarnya.
Tambah kenyataan itu, DBKL kekal komited dalam memperkukuhkan keselamatan siber dan menambah baik keupayaan infrastruktur teknologi sebagai langkah pencegahan terhadap sebarang gangguan pada masa hadapan.
“DBKL amat menghargai kesabaran dan sokongan berterusan daripada warga Kuala Lumpur serta memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku,” jelasnya.
Terdahulu, sebuah akhbar berbahasa Cina melaporkan seorang Ahli Parlimen mendakwa sistem perkhidmatan dalam talian DBKL digodam dan penggodam berkenaan menuntut tebusan berjumlah RM236.17 juta.
Menurut laporan itu, Ahli Parlimen tersebut memaklumkan beliau menerima maklumat terbabit daripada individu yang dipercayainya sebagai sumber yang boleh diharap dan yakin bahawa insiden berkenaan benar-benar berlaku.
Hari ini, DBKL menafikan dakwaan sistem perkhidmatan dalam taliannya digodam serta penggodam menuntut wang tebusan USD55 juta (RM236.17 juta) berikutan gangguan itu.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd. Sharif berkata sistem perkhidmatan dalam talian DBKL memang mengalami gangguan teknikal sebelum ini, namun tidak membabitkan sebarang tuntutan wang. – KOSMO! ONLINE