PETALING JAYA – Gelagat seorang lelaki berusia 40-an yang pertama kali menggunakan perkhidmatan e-hailing mencetus pelbagai reaksi lucu dalam kalangan pengguna media sosial.
Video yang dikongsikan oleh pemilik akaun TikTok, @Sirladang memaparkan lelaki tersebut yang terpaksa memuat turun aplikasi perkhidmatan e-hailing dalam keadaan terdesak kerana mahu bergegas ke lapangan terbang.
“Apabila kau umur 42 tahun baru install (muat turun) Grab sebab nak pergi airport (lapangan terbang),” katanya di dalam klip tersebut.
Dalam pada itu, dia turut menunjukkan tangkap layar perbualan bersama rakannya tentang perkara yang perlu dilakukan setelah sampai ke destinasi.
Menurutnya, dia tidak bertanya atau bercakap dengan pemandu kenderaan e-hailing tersebut kerana takut memandangkan itu adalah pengalaman kali pertamanya.
“Kita diam sahaja di dalam kereta ini sebab takut,” tulisnya pada ruangan kapsyen.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai turut berkongsi pengalaman kali pertama menggunakan perkhidmatan itu.
“Saya umur 40 tahun baru muat turun aplikasi ini sebab ada rawatan di hospital dan fikir payah untuk (dapatkan) parkir. Suruh rakan kerja ajar, dia ajar tetapi untuk balik tidak ajar. Terpaksa pesan tiga kali semua sampai ambik dekat pejabat bukan di hospital. Alahai, kelakar,” balas @MaizaitulAsma.
Sementara itu, ramai juga yang terhibur akan riak wajah lelaki berkenaan yang seolah-olah sudah beberapa kali memesan perkhidmatan itu.
“Dia punya riak, macam sudah ada pemandu peribadi,” kata @NurAtikah.
“Yang penting muka kena yakin macam sudah 20 kali naik kereta itu,” komen @Gemini. -KOSMO! ONLINE
@sirladang Kitonyo diam je dalam grab sebab takut. Hahaahahah!! #sirladang #lecturerlife ♬ original sound – ammarhasawi