KUALA LUMPUR – Lagu yang menjadi siulan dunia, Drunk Text kini hampir mencecah setengah bilion strim di Spotify, penyanyi dan komposer muda Henry Moodie menyifatkan kejayaan tersebut sebagai rezeki tidak terduga.
Berkata kepada Kosmo! Online, Henry atau nama sebenarnya, Henry James Moodie, 21, sehingga kini tidak percaya lagu tersebut memberi tuah yang sangat luar biasa dalam kerjaya muziknya.
“Setengah juta stim di Spotify? Sangat tak masuk akal. Bagaimanapun, semua ini membuatkan saya sangat bersyukur kerana ramai yang menyokong muzik saya.
“Saya masih tak percaya lagu ini dah capai tahap itu (setengah bilion strim di Spotify). Saya tak pasti sama ada benda ini akan berlaku lagi dalam hidup saya tapi yang pasti, saya sangat-sangat bersyukur,” katanya.
Melahirkan rasa apresiasi yang tidak berbelah bahagia, Henry yang merupakan pemuzik asal Guildford, England berkata, kejayaan Drunk Text tidak akan tertunai tanpa kehadiran aplikasi TikTok dan peminat.
“TikTok kini merupakan aplikasi paling berkuasa dalam dunia. Benda itu (TikTok) merubah hidup saya. Saya perlu berterima kasih kepada TikTok.
“Saya masih ingat lagu ingin agak ‘slow-burner’ dari segi strim. Sampailah orang mula gunakan audionya di TikTok. Mula-mula hanya 100,000 strim, berikutnya jadi 1 juta strim sampaikan sekarang nak cecah 500,000 strim.
“Tahun lepas lagu ini terus meningkat secara mendadak dari segi jumlah strim sampai saya fikir, ‘bila semua ini akan berhenti?’ (tertawa). Algoritma di TikTok sebenarnya banyak membantu jumlah penstriman Drunk Text,” katanya lagi.
Malam ini, Henry bakal mengadakan konsert solo Henry Moodie 2025 in Kuala Lumpur di Zepp Kuala Lumpur anjuran Live Nation bermula 8 malam. Persembahan berkenaan akan menyaksikan juga Bradley Simpson sebagai opening act.
Tiket masih boleh didapati menerusi laman sesawang, https://www.golive-asia.com/event-detail/144/Henry-Moodie-2025.