GWM Malaysia kekalkan pertumbuhan mampan dalam tempoh tiga tahun

3 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Great Wall Motor (GWM) Malaysia telah mencatatkan pertumbuhan mampan sepanjang tiga tahun kehadirannya di pasaran tempatan, dengan peningkatan jumlah jualan tahun ke tahun sebanyak 83 peratus setakat November 2025.

Pengarah Urusannya, Cui Anqi berkata, pertumbuhan luar biasa itu mencerminkan kepercayaan pengguna yang semakin meningkat, kekuatan pengedar dan pengiktirafan jenama GWM sejak penubuhannya di sini pada 2022.

“Malaysia ialah pasaran paling dinamik di rantau Asia Tenggara. Dalam masa singkat, kami telah membina asas kukuh berteraskan inovasi dan kepercayaan.

“Kini, fokus kami ialah memperkukuhkan usaha pengeluaran tempatan, memperluas rangkaian produk dan mempertingkatkan pengalaman pemilikan pelanggan,” katanya pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ketiga GWM dan Pelancaran GWM Ora Good Cat Ultra dan GT versi baharu 2025 di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia, Roslan Abdullah berkata, dalam tempoh tiga tahun GWM telah memperluaskan pengedarannya kepada lebih 30 cawangan di seluruh negara dengan memfokuskan perkhidmatan selepas jualan, didorong oleh tahap kepuasan pelanggan yang semakin tinggi.

“Sebagai sebahagian daripada visi jangka panjangnya, GWM kini giat memperkukuh perancangan kenderaan pemasangan tempatan (CKD), memperluas rangkaian pengedar serta memperkenalkan lebih banyak kenderaan tenaga baharu (NEV) untuk memenuhi pelbagai gaya hidup rakyat Malaysia termasuk model hibrid dan kenderaan elektrik (EV) sepenuhnya.

“GWM bukan hadir untuk jangka pendek. Kami berada di sini untuk membina kepercayaan jangka panjang dengan rakyat Malaysia melalui produk, tenaga kerja, dan rakan niaga kami,” katanya.

Versi baharu Ora Good Cat 2025, iaitu sebuah hatchback elektrik akan dijual pada harga RM109,800 untuk varian Ultra dan RM119,800 bagi GT dengan mengekalkan bentuk asal yang bulat, tetapi kini tampil lebih premium.

Ora Good Cat GT tampil dengan gaya sporty termasuk kit badan khas dan rim 18 inci warna hitam dengan trim kuning, manakala varian Ultra memiliki reka bentuk elegan dengan pilihan bumbung dua tona.

Pilihan warna menarik untuk Ultra termasuk Hazel Wood Beige (bumbung coklat), So Blue (bumbung hitam) dan Pistachio Green manakala GT dengan warna Aqua Grey dan Sun Black.

Versi Ultra dan GT dikuasakan oleh bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 57.7 kilowatt jam dengan jarak gerak sehingga 480 kilometer (km) mengikut piawaian NEDC untuk Ultra dan 460 km bagi GT.

Dari segi kuasa, Ultra menghasilkan kuasa 143 PS dan tork maksimum 210 Nm, manakala GT sebanyak 171 PS dan tork maksimum 250 Nm dengan kelajuan maksimum 150 km/jam. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |