ALOR SETAR – Suspek kes pembunuhan tragis seorang eksekutif bank di sebuah rumah di Taman Sultan Abdul Halim, Jalan Tanjung Bendahara, di sini kelmarin didakwa turut dibebani dengan pinjaman along.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, hasil siasatan mendapati lelaki berusia 29 tahun itu mengaku terlibat dengan pinjaman along di sekitar Pulau Pinang.
“Selain itu, suspek juga mendakwa dibebani dengan bayaran sewa motosikal bagi p-hailing sebanyak RM700 sebulan serta perlu membayar sewa bilik, ” katanya di sini hari ini.
Katanya, keadaan tersebut menyebabkan suspek, seorang pekerja kilang mengalami masalah kewangan dan didakwa sering meminta wang daripada mangsa yang mana ia dipercayai menjadi motif pembunuhan tersebut.
Selain itu, menurut beliau, hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas mangsa, Zahrullail Basir, 52, semalam mendapati punca kematian adalah disebabkan luka tikaman pada dada.
“Luka tikaman tersebut melibatkan paru-paru kiri dan jantung yang telah menyebabkan pendarahan dalaman teruk sehingga boleh mengakibatkan kematian dalam tempoh masa singkat.
“Doktor turut mengesahkan kecederaan luka tikaman dan luka hiris pada badan si mati adalah disebabkan oleh objek keras dan tajam seperti pisau dapur,” ujarnya.
Kata beliau, usaha mengesan barang kes berkenaan masih giat dijalankan.
Tambahnya, siasatan ke atas suspek yang merupakan anak sulung mangsa itu dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek kini direman sehingga 9 Februari ini.
Kosmo! hari ini melaporkan masalah kewangan dan sikap baran suspek dipercayai menjadi motif pembunuhan tragis eksekutif bank di sebuah rumah di Taman Sultan Abdul Halim pada kelmarin.
Terdahulu, Zahrullail ditemukan maut dengan tiga kesan tikaman dalam kejadian yang disedari berlaku pada pukul 8.45 pagi itu. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
2

















































