KUALA LUMPUR – Sesi penerangan khas isu jajaran sempadan Malaysia-Indonesia hari ini bertukar kecoh selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pembangkang sebagai biadab kerana memaki hamun beliau dan kerajaan dalam isu tersebut.
Menurut Perdana Menteri, beliau tidak mempunyai masalah sekiranya Ahli Parlimen pembangkang mahu bertanyakan isu tersebut, tetapi bukan dengan menuduh beliau serta kerajaaan khianat kepada negara.
“Kita harus mengucapkan penghargaan setingginya kerana pegawai-pegawai kita, bahagian hal ehwal, persempadanan, disokong bahagian topografi, Jabatan Peguam Negara, bahagian pemetaan, Kementerian Pertahanan, tentera, itu terpaksa beredar ke hutan belantara untuk memastikan peta itu dimuktamadkan.
“Jadi saya harap, walaupun pembangkang memilih untuk tidak menyertakan penghargaan dan terima kasih kepada pegawai dan tentera, kerana yang ada itu menghina, kenyataan biadab menghina. Kalau tak tahu, tanya. Kalau tak tahu, jangan maki hamun. Tak tahu, tanya!,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beberapa Ahli Parlimen pembangkang termasuk Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu), Datuk Awang Hashim (PN-Pendang), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal namun membantah kenyataan tersebut dengan menyifatkan ia suatu tuduhan yang tidak benar kepada pembangkang.
Rosol berkata, kenyataan Perdana Menteri bahawa pembangkang memaki hamun dalam isu tersebut merupakan suatu tuduhan, manakala Awang menegaskan isu itu dibangkitkan oleh pembangkang berdasarkan laporan pihak Indonesia.
“Kami ambil kenyatan itu dari Indonesia. Kami tak pernah maki. Kami tanya jawablah,” kata Awang.
Beberapa Ahli Parlimen kerajaan kemudian bangkit mempertahankan kenyataan Perdana Menteri dengan mendakwa pihak pembangkang sebenarnya membuat tuduhan apabila membangkitkan isu tersebut.
Anwar turut bangun menjelaskan: “Saya kata ada kenyataan biadab. Ada kenyataan yang menuduh saya khianat pada negara. Ini yang kita kena betulkan. Pegawai-pegawai (kerajaan) kita bekerja bertungkus lumus”
Perdana Menteri seterusnya berkata, hal-hal yang menyentuh kepentingan negara termasuk sempadan harus dibincang secara berhemah, namun beliau membantah keras tuduhan dan fitnah menyatakan beliau mengkhianati negara.
“Kita boleh berbeza pendapat, tapi jangan menjatuhkan hukuman dan juga jangan menyinggung perasaan rakan-rakan kita di Indonesia yang berusaha untuk menjalin hubungan yang sangat baik dan akrab antara dua negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
3

















































