PETALING JAYA – Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. (Mforce Bike) terus mengukuhkan kedudukannya di pasaran menerusi pelancaran barisan sembilan model motosikal baharu daripada lima jenama berbeza.
Ketua Pegawai Operasi Mforce Bike, Asri Ahmad berkata, pelancaran tersebut menampilkan kepelbagaian pilihan motosikal yang dapat memenuhi gaya tunggangan dan keperluan pengguna yang berlainan.
“Kita melancarkan lima model motosikal daripada jenama X-Wedge, dua model WMoto dan masing-masing satu daripada Brixton dan Cyclone.
“Malah, kita melancarkan motosikal daripada pelbagai segmen untuk memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna,” katanya pada majlis pelancaran motosikal baharu sempena Mforce Lou Sang Dinner kelmarin.
Tambahnya, harga yang ditawarkan juga adalah mampu milik dengan kualiti yang diyakini.
Misalnya, bagi Skuter WMOTO Island 150 yang dilancarkan, ianya ditawarkan pada harga RM6,688 dan WMOTO Hawk 200i pada harga RM7,888.
Manakala bagi model Brixton Storr 500 ianya ditawarkan pada harga RM29,888 dan Cyclone RA600 pada harga RM25,888.
Bagi lima model X-WEDGE ianya ditawarkan pada harga bermula RM68,888.
Setiap model yang dilancarkan tersebut mencerminkan komitmen berterusan Mforce Bike dalam menawarkan produk yang relevan, praktikal dan berdaya saing untuk pasaran tempatan.
Mengulas lanjut, Asri berkata, pada 2025 Mforce Bike telah melancarkan 40 model motosikal baharu yang terdiri daripada beberapa jenama.
“Pencapaian tersebut merupakan satu rekod yang belum dicapai oleh mana-mana syarikat motosikal di Malaysia.
“Bagi tahun ini, kita akan melancarkan lebih daripada 40 model motosikal baharu bagi pelbagai segmen,” terangnya. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
1

















































