Kereta tu brek mengejut di lorong kanan tiga kereta jadi ‘sardin’

1 hour ago 2

PETALING JAYA – Tindakan sebuah kereta elektrik jenis Proton e.MAS 7 yang didakwa membrek secara mengejut di lorong kanan mengundang kemarahan pengguna jalan raya selepas menyebabkan kemalangan melibatkan beberapa kenderaan lain.

Menerusi video rakaman dimuat naik isteri kepada salah seorang mangsa di akaun Facebook Ctno Sitinur, kejadian berlaku kira-kira pukul 2.50 petang semalam.

Ketika kejadian, suaminya menyedari Proton e.MAS 7 tersebut yang berada di lorong kanan mula memperlahankan kenderaan dan membrek beberapa kali tanpa memberikan sebarang isyarat untuk menukar lorong.

Kemudian, wanita itu berkata, apabila keadaan trafik mulai sesak di hadapan, suaminya yang berada di belakang Proton e.MAS7 mula memperlahankan kenderaannya apabila kereta tersebut semakin kerap brek mengejut.

Namun, keadaan bertukar genting apabila Proton e.MAS 7 yang berada di lorong kanan itu brek sehingga berhenti di tengah jalan raya dipercayai kerana ingin ‘memancung’ ke lorong kiri susulan keadaan trafik yang agak sesak.

Tindakan mengejut pemandu itu menyebabkan beberapa kenderaan di belakang terpaksa membrek secara mengejut sebelum berlaku pelanggaran sesama sendiri.

Lebih kecewa lagi, Proton e.MAS 7 itu kemudiannya menyambung perjalanannya seolah tiada apa berlaku tanpa memohon maaf atas tindakan cuainya.

“Saya marah bukan sebab bahayakan suami saya sahaja, tapi orang belakang dan pengguna lain termasuk motosikal. Dari lorong kanan terus nak pancung kiri macam itu sampai berhenti tengah jalan,” kata wanita itu dalam hantarannya.

Tinjauan di ruangan komen mendapati ramai yang mengecam tindakan pemandu berkenaan dan menyifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab serta boleh mengundang tragedi lebih buruk.

Malah, ada yang menggesa pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil tindakan terhadap pemandu terbabit bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terus terjamin.

“Muat naik je video ni sebagai bukti dekat MyJPJ. Video dah ada, senang nak ambil tindakan,” komen Syamsul.

“Hakikatnya macam tu lah segelintir permandu kereta sekarang. Nak susur kiri lepas tu duduk lorong paling kanan. Apa salahnya duduk je kejap lorong kiri tu kan nak ke susur kiri,” komen Ikmal.

“Buat laporan polis terus. Orang macam ni kena ajar supaya tak menyusahkan pengguna jalan raya lain,” komen Fairuz pula. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |