Malaysia perkukuh kerjasama serantau menerusi BIMP-EAGA

3 hours ago 2

PETALING JAYA – Malaysia komited memperkukuh kerjasama serantau menerusi Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) sebagai platform strategik bagi merapatkan jurang pembangunan dan memperluas jaringan perdagangan, pelaburan serta keterhubungan digital.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen itu dizahirkan dalam Sidang Kemuncak Khas BIMP-EAGA yang berlangsung di Cebu, Filipina hari ini.

Menurut beliau, Visi BIMP-EAGA 2035 perlu digerakkan dengan semangat kebersamaan, tatakelola mampan serta iltizam memastikan wilayah terpencil dan kurang membangun tidak terus tercicir daripada arus pembangunan.

“Malaysia komited memperkukuh kerjasama serantau menerusi BIMP-EAGA sebagai wahana strategik yang bukan sahaja merapatkan jurang pembangunan, malah memperluas jaringan perdagangan, pelaburan, keterhubungan digital serta keterjaminan makanan demi kemaslahatan rakyat di rantau ini.

“Dalam Sidang Kemuncak Khas BIMP-EAGA di Cebu hari ini, saya menegaskan bahawa Visi BIMP-EAGA 2035 mesti dipacu dengan semangat kebersamaan, tatakelola yang mampan serta iltizam untuk memastikan wilayah-wilayah terpencil, kurang membangun tidak terus tercicir daripada arus pembangunan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Anwar berkata, ketika dunia kini berdepan cabaran krisis bekalan tenaga, perubahan iklim serta ketidaktentuan ekonomi global, rantau ASEAN perlu tampil dengan pendekatan yang lebih bersepadu dan berani.

Jelas beliau, Malaysia menyokong usaha memperkukuh keterhubungan tenaga rentas sempadan, selain menggalakkan pelaburan dalam tenaga boleh baharu serta penyelesaian lestari seperti solar dan mini-grid.

Katanya, langkah tersebut penting bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara adil dan inklusif oleh seluruh rakyat termasuk komuniti di kawasan pedalaman.

“Visi 2035 bukan sekadar dokumen dasar, tetapi cerminan tekad bersama untuk membina sebuah rantau yang lebih berdaya tahan, kompetitif dan manusiawi.

“Dengan semangat ASEAN yang terus menyala, kita akan terus menyokong agenda pembangunan yang memuliakan insan, memperkasa masyarakat setempat dan menyemarak masa depan yang lebih sejahtera buat generasi mendatang,” ujarnya.

Terdahulu, Anwar bersama isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail tiba di Cebu, Filipina pada pukul 1.50 tengah hari bagi lawatan dua hari sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 dan Mesyuarat Berkaitan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |