MEKAH- Pernah terlantar lemah sehingga berat badan susut hampir separuh, seorang bekas pesakit kanser usus tahap empat menyifatkan peluang menunaikan haji tahun ini sebagai ‘jemputan luar biasa’ daripada Allah.
Namun siapa sangka, wanita yang pernah melalui 25 sesi kemoterapi itu kini berada di Tanah Suci bersama suami tercinta bagi menyempurnakan rukun Islam kelima.
Bekas guru, Rossilawati Abdul Razak, 65, berkata, ada ketika dia sendiri menyangka hayatnya tidak panjang selepas disahkan menghidap kanser pada 2014.
Katanya, malah sejak disahkan menghidap kanser, kehidupannya berubah sepenuhnya apabila terpaksa menjalani pelbagai rawatan termasuk kemoterapi dan pembedahan besar
“Saya dah rasa macam tiada harapan. Pernah fikir mungkin saya tak sempat sampai ke Mekah.
“Bila doktor geleng kepala masa pemeriksaan kesihatan, saya memang takut. Tapi saya tetap berdoa dan nekad mahu pergi,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, perjalanan mendapatkan kelulusan kesihatan bukan mudah apabila dia perlu menjalani pemeriksaan di Institut Kanser Negara (IKN) dan Institut Jantung Negara (IJN).
“Alhamdulillah, doktor terakhir kata semuanya okey. Masa itu saya menangis sebab rasa macam mustahil boleh sampai sini,” katanya.
Rossilawati berkata, impiannya untuk menjadi tetamu Allah juga pernah hampir berkubur apabila tiga rayuan hajinya sebelum ini gagal.
“Saya tunggu bertahun-tahun. Bila dapat tawaran tahun ini, saya rasa Allah masih beri peluang untuk saya hidup dan datang ke sini,” ujarnya.
Katanya, kesan rawatan kanser menyebabkan fungsi buah pinggangnya terjejas selain sebelah kaki menjadi tempang sehingga perlu memakai kasut khas.
“Saya pernah jadi terlalu kurus sampai rasa macam tengkorak hidup. Berat turun daripada 80 kilogram kepada sekitar 40 kilogram.
“Sampai sekarang saya masih guna beg najis dan lampin pakai buang, tapi semua itu bukan penghalang untuk saya beribadah,” katanya.
Sementara itu, suaminya, Kamaruzaman Othman, 66, menyifatkan peluang bersama-sama berada di Tanah Suci umpama ‘bulan madu kedua’ selepas 41 tahun melayari alam rumah tangga penuh ujian.
“Bila sampai sini, saya rasa hubungan kami jadi lebih rapat. Banyak kenangan lama terasa hidup semula.
“Orang lelaki susah nak luah perasaan, tapi di sini saya rasa lebih menghargai isteri dan perjalanan hidup kami bersama,” katanya.-KOSMO! ONLINE.

1 hour ago
3















































