KUALA LUMPUR – Dua lagi pemain import bakal melengkapkan senarai penuh 33 pemain skuad Kuala Lumpur City bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M), musim ini.
Dua tonggak tambahan itu membabitkan pertahanan dari Ghana, Joseph Adjei dan penyerang Nigeria, Yusuf Tunji Omotosho, masing-masing akan didaftarkan, minggu depan sebelum tarikh tutup jendela pendaftaran pertama, Khamis ini.
Walaupun dipalit isu kekurangan pemain di awal musim ekoran masalah sekatan, pengurusan pasukan kekal komited untuk memastikan skuad penuh dan terbaik mampu disediakan sebelum tarikh akhir pendaftaran.
Pengerusi KL City FC, Syed Yazid Syed Omar berkata, pihaknya memahami kekecewaan peminat namun pengurusan tetap berusaha keras menyelesaikan isu hingga sekatan oleh Persekutan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sudah pun ditarik balik.
“Apa yang berlaku sebelum ini tidak menggambarkan usaha kami tetapi kami juga faham apa yang dirasakan oleh peminat. Minggu depan kami akan pastikan skuad KL City akan lengkap sepenuhnya untuk harungi Liga M,” katanya.
Antara usaha lain pengurusan untuk memastikan KL City kekal kompetitif, The City Boys juga dilaporkan sudah pun melanjutkan kontrak ketua pasukannya, Paulo Josue dua tahun lagi dan akan kekal bersama pasukan hingga 2028.
Sebelum ini, The City Boys dilaporkan sudah ‘berbelanja’ lebih RM1 juta untuk menyelesaikan tunggakan namun salah seorang bekas pemain tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan kepastian tentang penerimaan bayaran.
Usaha kelab untuk meminta bantuan dari pemain Kuala Lumpur City untuk menghubungi bekas pemain berkenaan turut gagal dan keadaan itu menyebabkan KL City ‘sangkut’ hingga tidak dapat mendaftarkan pemain baharu.
Sebaliknya sekarang, KL City sudah pun bebas daripada sebarang sekatan dan petang ini, KL City akan turun buat kali kedua di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur bertemu kelab Brunei, DPMM FC. – KOSMO! ONLINE

1 day ago
14











![[VIDEO] Pagi ini nampak Sulong jalan balik hala Titiwangsa](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/SULUNG-GAJAH.jpeg)




















![[VIDEO] ‘Rehatlah Nurfisya, kau dah bahagia di tempat tiada air mata’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/0730d2ac-3c53-4ff9-bbf6-fe7478da8c6b.jpeg)















![[VIDEO] ‘Inilah istilah jatuh, bangun sendiri’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/TULAR-LORI-NAHAS.jpeg)
