Rakyat Malaysia ‘serbu’ web Polis Nepal kesan rakan, keluarga hilang

3 hours ago 3

PETALING JAYA – Dalam keadaan penuh debar dan ketakutan, rakyat Malaysia kini ‘menyerbu’ laman web Polis Nepal untuk meneliti satu demi satu gambar mayat yang belum dikenal pasti susulan kejadian banjir lumpur di negara itu.

Tindakan tersebut adalah sebagai ikhtiar mereka untuk sama-sama mengesan keberadaan kenalan dan keluarga yang masih belum dapat dihubungi lebih 90 jam lalu.

Tinjauan di media sosial mendapati perkongsian mengenai tindakan Polis Nepal memuat naik gambar mayat tidak dikenal pasti untuk semakan umum turut mengundang pelbagai reaksi, dengan ramai mengakui gerun untuk melihat paparan berkenaan.

“Gigil klik satu demi satu gambar dikongsikan Polis Nepal. Hati tetap yakin kau tak ada dalam senarai maut, tak ada dalam gambar dikongsikan. Aku yakin kau masih selamat, cuma tak ada akses hubungi kami di Malaysia,” kata Ayid.

Ayid dipercayai rakan kepada salah seorang rakyat Malaysia yang masih tidak dapat dihubungi di Nepal.

Seorang pengguna media sosial @fffaezxyz.ndrnm turut meluahkan rasa seram selepas melihat gambar unidentified bodies atau mayat yang belum dikenal dimuat naik menerusi laman web Polis Nepal.

“Seram ya tengok unidentified bodies (mayat yang belum dikenal) yang dimuat naik dalam website (laman sesawang) Polis Nepal,” katanya.

Seorang lagi pengguna turut bersimpati dengan keadaan mangsa, khususnya mereka yang sukar dikenal pasti berikutan keadaan fizikal mayat.

“Selepas tengok mayat yang belum dituntut dekat banjir Nepal itu, Allahuakbar…macam mana la ya diorang nak kenal pasti mayat yang tak sempurna itu.

“Kalau ada tatu mungkin boleh dikenali, kalau yang tak cukup sifat itu bagaimana? Kesiannya,” kata @alter.ego_of.mine.

Turut mendapat perhatian ialah seorang pengguna @khairulanuarmdithnin yang mengakui tidak sanggup melihat gambar-gambar mayat berkenaan.

“Mayat yang belum dikenal pasti di Nepal. Seram nak tengok. Siapa yang sanggup boleh tengok,” katanya.

Komen-komen itu menggambarkan perasaan bercampur-baur orang ramai antara rasa ingin mengetahui nasib mangsa dan ketakutan untuk berdepan kemungkinan insan tersayang berada dalam senarai mayat yang masih belum dikenal pasti.

Pihak Polis Nepal sebelum ini dilaporkan memuat naik gambar mayat yang belum dikenal pasti untuk semakan umum bagi membantu proses pengecaman mangsa susulan bencana banjir besar yang melanda negara itu.

Paparan tersebut turut disertakan amaran kandungan kerana mengandungi imej yang boleh mengganggu emosi kerana kebanyakan keadaan mayat tidak sempurna. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |