PUTRAJAYA – Pusat tuisyen terkemuka, PTTI Group Sdn. Bhd. (PTTI) terus mencipta sejarah dalam dunia pendidikan apabila berjaya melahirkan 534 pelajar yang memperoleh keputusan ‘Straight A’ pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Kejayaan itu mengukuhkan kedudukan PTTI sebagai peneraju dalam bidang pendidikan digital negara, sekali gus melayakkannya menerima pengiktirafan The Malaysia Book of Records (MBOR) buat kali ketiga.
Pengiktirafan MBOR itu diterima PTTI menerusi anugerah ‘Most Straight A’s SPM Students in a Tuition’ buat kali ketiga selepas 2022 dan 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman berkata, secara keseluruhan sebanyak 31,987 gred A berjaya direkodkan pelajar di bawah bimbingan PTTI bagi SPM 2025.
Selain itu, seramai 158,423 pelajar mendapat manfaat melalui program seminar SPM yang dianjurkan sepanjang tahun tersebut.
“Kejayaan itu mencerminkan komitmen berterusan PTTI dalam memastikan pencapaian sebenar pelajar.
“Kami sentiasa memberi fokus kepada hasil dan kemenjadian pelajar, bukan sekadar menamatkan silibus pembelajaran,” katanya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Inspirasi PTTI 2026 di sini hari ini.
Terdahulu, lebih 4,000 pelajar bersama ibu bapa diraikan dalam majlis anugerah itu yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Sementara itu, Ketua Pegawai Pembangunan PTTI, Race Monsopiad berkata, lebih 150,000 pelajar berjaya mendapat manfaat daripada seminar yang dianjurkan.
“Sepanjang 2025, seramai 158,423 pelajar sudah dibantu.
“Jadi, sempena pencapaian ini, PTTI akan menganjurkan Seminar Percuma SPM di seluruh negara bermula 4 hingga 10 Mei 2026. Pendaftaran boleh dibuat melalui laman sesawang rasmi kami,” jelasnya.
Sementara itu, salah seorang pelajar cemerlang yang juga penyanyi, Alyssa Dezek berkata, pendekatan pembelajaran yang mudah difahami menjadi faktor utama kejayaannya.
“Saya mula menyertai PTTI sejak tingkatan tiga. Teknik pengajaran yang digunakan sangat jelas dan mudah difahami.
“Ia seterusnya membolehkan saya menguasai pelajaran dalam masa singkat. Alhamdulillah, saya berjaya memperoleh 9A dalam SPM,” katanya. – KOSMO! ONLINE

4 hours ago
6



![[VIDEO] ‘Inilah istilah jatuh, bangun sendiri’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/TULAR-LORI-NAHAS.jpeg)










































