Budak maut dikelar, JKM beri sokongan psikososial

4 hours ago 3

SIBU – Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah akan meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Bahagian Pembangunan Awal Kanak-Kanak memantau perkembangan kes kematian seorang kanak-kanak lelaki yang dipercayai dikelar di sini Jumaat lalu.

Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan keluarga yang terjejas akibat tragedi berkenaan mendapat sokongan kebajikan serta bantuan psikososial yang sewajarnya.

“Saya amat sedih dan terkejut dengan kejadian tragik yang mengakibatkan kematian seorang kanak-kanak di Sibu.

“Ucapan takziah saya tujukan kepada keluarga mangsa. Tiada seorang kanak-kanak pun sepatutnya menjadi mangsa keganasan dalam apa jua keadaan. Kehilangan seorang anak adalah satu tragedi yang amat berat bagi sesebuah keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fatimah berkata beliau difahamkan siasatan polis sedang dijalankan dan seorang suspek telah direman bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Justeru, beliau meminta semua pihak memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh dan telus tanpa sebarang gangguan.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat, gambar atau spekulasi yang belum disahkan kerana tindakan itu boleh menambahkan kesedihan keluarga mangsa selain berpotensi menjejaskan proses siasatan.

“Buat masa ini, marilah kita bersama-sama mendoakan kekuatan dan ketabahan buat keluarga mangsa serta semua yang terkesan dengan tragedi yang amat menyayat hati ini,” katanya.

Dalam kejadian itu, seorang kanak-kanak lelaki maut dipercayai akibat dikelar pada bahagian leher di sebuah rumah di Jalan Rantau Panjang Jaya di sini.

Seorang lelaki yang ditahan polis bagi membantu siasatan kes itu telah direman selama enam hari hingga 4 September dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – Bernama

Read Entire Article
Pertanian | | | |