Pasangan suami isteri maut dirempuh kereta dipandu lelaki disyaki mabuk

1 hour ago 2

KUALA LUMPUR – Pasangan suami isteri maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta dipercayai dipandu dalam keadaan mabuk dalam kejadian di Jalan Ampang berhampiran Menara Great Eastern di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 5.34 pagi melibatkan sebuah motosikal dan sebuah kereta.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu lelaki tempatan berusia 24 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang motosikal jenis Honda Wave Alpha dinaiki pasangan suami isteri terbabit.
“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal iaitu lelaki tempatan berusia 61 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pembonceng yang juga isterinya berusia 56 tahun turut mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pemandu kereta terbabit mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kini masih menerima rawatan di Zon Merah Hospital Kuala Lumpur.

“Penumpang hadapan kenderaan tersebut iaitu lelaki tempatan berusia 23 tahun turut mengalami kecederaan di bahagian kepala dan masih dirawat di zon sama.

“Seorang lagi penumpang belakang berusia 24 tahun hanya mengalami kecederaan luka di bahagian bibir dan lidah serta telah dibenarkan pulang sebelum tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan pada hari kejadian,” katanya.

Menurut beliau, siasatan turut mendapati kesemua individu yang berada di dalam kereta berkenaan adalah rakan.

“Pemandu kenderaan telah diambil sampel darah dan air kencing untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi mengenal pasti kandungan alkohol atau bahan terlarang.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Ujarnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |