Memahami kepelbagaian etnik sumber kekuatan kita – Anthony Loke

4 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Perpaduan negara bermula dengan usaha untuk memahami antara satu sama lain, menjadikan perbezaan sebagai sumber kekuatan dan pengayaan berbanding halangan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Berucap pada acara Merdeka Blessings MahāSaṅghikadāna 2026 di sini hari ini, Loke berkata, kepelbagaian etnik, agama, budaya, dan bahasa di Malaysia membentuk asas kepada kekuatan negara, yang disokong oleh sikap saling hormat-menghormati dan kepedulian bersama.

“Perpaduan sejati bermula apabila kita berusaha untuk memahami satu sama lain. Apabila wujudnya persefahaman, perbezaan tidak lagi perlu menjadi halangan. Sebaliknya, ia boleh menjadi sebahagian daripada kekayaan dan kekuatan komuniti kita,” katanya.

Loke berkata kepelbagaian hanya boleh menjadi satu aset apabila ia diiringi dengan semangat muhibah dan rasa hormat antara komuniti.

“Kepelbagaian kita menjadi satu kekuatan apabila ia diiringi dengan persefahaman. Perbezaan kita menjadi sumber pengayaan apabila ia diiringi dengan sikap saling menghormati. Dan masyarakat kita menjadi lebih kukuh apabila pemahaman disusuli dengan kebaikan,” katanya.

Loke yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, tindakan muhibah yang ringkas, boleh memberi impak yang mendalam terhadap kesepaduan sosial, sama ada melalui kata-kata manis yang mengembalikan keyakinan, tindakan penuh ihsan yang meringankan beban atau kemurahan hati yang merapatkan perbezaan.

Beliau berkata nilai-nilai tersebut sejajar secara langsung dengan nilai teras kerangka Malaysia Madani, yang berusaha untuk membina masyarakat yang penuh belas ihsan berlandaskan kepercayaan bersama dan nilai kepedulian.

Dengan Malaysia bakal menyambut Hari Kebangsaan ke-69 esok, Loke berkata, kemerdekaan harus dilihat bukan sekadar peringatan tahunan, tetapi sebagai komitmen berterusan yang mesti dijunjung melalui tindakan kita setiap hari.

“Pada ketika kita menyambut hari Merdeka yang ke-69, kita harus ingat bahawa kemerdekaan bukan sekadar sesuatu yang kita peringati setahun sekali.

“Kekuatan negara kita mesti diperbaharui setiap hari melalui cara kita melayan satu sama lain, melalui kesediaan kita untuk memahami mereka yang berbeza daripada kita dan melalui komitmen kita untuk meletakkan kesejahteraan negara kita mengatasi perbezaan yang mungkin wujud dalam kalangan kita,” katanya. – Kosmo! Online

Read Entire Article
Pertanian | | | |