Orang ramai ‘berkampung’ di Putrajaya lihat raptai penuh merdeka

1 hour ago 4

PUTRAJAYA – Suasana di sekitar Dataran Putrajaya di sini terus disemarakkan dengan semangat patriotik apabila dibanjiri ribuan orang ramai bagi menyaksikan raptai penuh Sambutan Hari Kebangsaan 2026 hari ini.

Berdasarkan tinjauan Kosmo!, orang ramai mula membanjiri Dataran Putrajaya di sini seawal pukul 6 pagi bagi menyaksikan raptai penuh yang bermula sekitar pukul 8 pagi.

Secara kebiasaan, sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya kekal menjadi tumpuan rakyat bagi menyaksikan pelbagai pengisian menarik termasuk perarakan pasukan beruniform, persembahan udara selain pameran aset ketenteraan.

Menurut salah seorang pengunjung, Asrina Barudin, 40, beliau mengambil kesempatan hadir menyaksikan raptai penuh bagi mengelakkan kesesakan pengunjung pada Isnin depan.

“Seperti setiap tahun, sambutan Hari Kebangsaan disambut begitu meriah dan Putrajaya sentiasa dibanjiri dengan orang ramai, sebab itu saya ambil kesempatan hadir hari ini.

“Berikutan persembahan yang dipamerkan sangat menakjubkan, saya juga membuat keputusan untuk hadir lagi sekali pada Isnin ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! selepas sesi raptai penuh Hari Kebangsaan hari ini.

Kata suri rumah itu, beliau juga akan hadir lebih awal pada Isnin ini bagi mendapatkan ‘spot’ terbaik menyaksikan perarakan termasuk melihat penampilan istimewa badan beruniform.

“Memandangkan hanya tinggal di Putrajaya, jadi saya merancang untuk hadir sekitar pukul 5 pagi untuk mencari tempat terbaik,” katanya.

Sementara itu, Lisneza Roseli, 40, menyifatkan, peluang melihat perarakan secara dekat memberi pengalaman baharu kepadanya memandangkan kali terakhir merasai situasi itu ketika kecil.

Kata guru berasal dari Gombak itu, beliau hadir bersama enam ahli keluarga dan bertolak dari rumah mereka seawal pukul 7 pagi dengan menaiki kereta.

“Kami datang dulu hari ini. Kalau datang 31 Ogos nanti, mungkin tidak nampak dengan jelas dan terlalu ramai orang, jadi kami datang tengok dulu hari ini,” katanya.

Mengulas pengalamannya menyaksikan raptai itu, Lisneza berkata, dia berasa seronok kerana berpeluang melihat pelbagai perarakan menarik secara langsung.

“Rasa seronok sebab ada banyak perarakan yang menarik. Yang tak pernah tengok secara langsung memang sangat tertarik.

“Pertunjukan udara menjadi tarikan paling menarik perhatian kerana sebelum ini saya hanya menyaksikan aksi berkenaan menerusi televisyen,” katanya.

Untuk maklumat, acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2026 dijayakan lebih 10,819 peserta daripada 76 kontinjen selain melibatkan 22 pasukan pancaragam, 11 kereta berhias serta 328 aset darat, laut serta darat serta 112 ekor haiwan dalam perkhidmatan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |