‘Lucu, pelajar sekolah panggil saya Kak Cak Cekuk’

1 hour ago 4

ANAK seni mana yang tidak dihambat duka apabila hasil kerjanya selama berbelas tahun dalam bidang nyanyian sukar mendapat tempat dalam kalangan khalayak.

Hatinya juga pernah terluka apabila ada yang memintanya menghentikan sahaja karier sebagai penyanyi hanya disebabkan lagu-lagu tidak laku berbanding rakan seperjuangan lain.

Seperti pusaka bergilir, musim bertukar, situasi tersebut enggan dibiarkan berlama-lama tertanam dalam diri sehinggalah dia menemui genre irama Malaysia yang berjaya meledakkan semula namanya sebagai penyanyi.

Cak Cak Cekuk, karya yang berjaya mengangkat nama Wani Kayrie sejak tahun lalu. Lebih manis, lagu tersebut berjaya meletakkan namanya sama gah dengan penyanyi hebat lain.

Tidak menafikan hal tersebut, pemilik nama penuh Syazwani Abdullah juga menerima pujian menggunung, malah dilabel sebagai pelapis pejuang lagu irama Malaysia dan etnik kreatif tanah air.

Bukan sahaja pelapis, bekas peserta Big Stage musim pertama itu juga diberi jolokan sebagai ikon Merdeka Gen Z selepas lagunya mendunia setiap kali tiba bulan kemerdekaan.

SEPERTI menemui identiti sendiri, Wani nekad mahu terus memperjuangkan dan memartabatkan lagu-lagu irama Malaysia serta etnik kreatif pada masa akan datang.

Ikon Merdeka Gen Z

“Bukan sahaja digelar penyanyi pelapis irama tradisional, ada juga panggil saya ikon Merdeka, ikon ‘human graphic’, sedangkan lagu-lagu saya bukan tentang Hari Kemerdekaan pun.

“Tapi mungkin kerana lagu Cak Cak Cekuk sangat dekat dengan hati rakyat seperti terselit muzik kompang, gamelan dan sebagainya.

“Apabila dilabel sebagai pelapis irama Malaysia, saya anggapnya sebagai perkara yang baik sebab membuka mata ramai mengenai kewujudan saya sebagai penyanyi,” katanya yang manis menyarung busana bercorak batik rekaan Rashidmoshi.

Wani memberitahu, hatinya bertambah terharu meski sudah setahun Cak Cak Cekuk diluncurkan, lagu tersebut masih rancak menjadi siulan ramai terutama pada bulan kemerdekaan.

Lebih membuatkan dirinya berasa bangga, karya tersebut berjaya membawanya ke pelbagai acara besar, termasuk membuat persembahan di hadapan ketua negara-negara ASEAN dan menyanyi di Istana Negara.

“Terharulah sebab saya tak sangka sambutan lebih daripada yang dijangka, pada awalnya ada yang cakap Cak Cak Cekuk boleh jadi lagu pelancongan Malaysia tetapi rupa-rupanya pergi lebih jauh.

“Disebabkan lagu ini saya buat persembahan di hadapan Presiden Singapura dan Perdana Menteri Bangladesh. Bukti lagu irama tradisional mampu bawa nama dan imej Malaysia ke mata dunia.

“Lucunya, ada juga pelajar sekolah panggil saya ‘Kak Cak Cekuk’ sebab lagu itu rancak dimainkan di sekolah untuk sambutan tertentu seperti Hari Guru, Hari Kanak-Kanak dan Hari Kemerdekaan,” jelasnya.

Bercakap tentang Hari Kemerdekaan yang bakal diraikan beberapa hari saja lagi, penyanyi berusia 26 tahun itu menyifatkan seni mampu menyatukan bangsa dan kaum di negara ini.

Ujarnya, perkara tersebut dibuktikan dengan kejayaan Cak Cak Cekuk yang menambat hati khalayak sehingga hari ini.

“Tanpa kita sedar, seni menyatukan rakyat Malaysia setiap kali bulan kemerdekaan tiba, semua jenis muzik dimainkan dan dinyanyikan tanpa mengira bahasa, bangsa dan kaum.

“Lebih manis, bila lagu-lagu saya didendangkan pada bulan kebanggaan dan Hari Merdeka, sangat bangga dan terharu. Tidak semua dapat peluang itu,” jelasnya yang baru sahaja melancarkan single irama Malaysia keduanya berjudul Pulang.

ENGGAN menyimpan angan-angan terlalu besar, Wani cuba berharap berpeluang mengadakan sebuah ‘showcase’ sendiri satu hari nanti.

Bergelut

Terbuka berkongsi dugaan terbesarnya sebagai anak seni, Wani memberitahu persaingan lagu dan perjuangan untuk memastikan tidak tenggelam terutama dalam zaman media sosial adalah realiti yang perlu ditempuhnya.

Katanya, tempoh bergelut untuk memastikan nama dan karya kekal diingati itu dilaluinya sejak bergelar penyanyi profesional seawal usia 10 tahun.

“’Struggle’ saya adalah untuk kekal relevan terutama selepas melabur duit yang banyak buat lagu, hasilkan video muzik tetapi akhirnya tidak menjadi.

“Tiada pulangan, orang tak tahu lagu kita dan tiada jemputan persembahan. Sebab itu anak seni perlu rajin buat apa sahaja peluang untuk kekal relevan.

“Disebabkan ‘struggle’ itu juga saya cuba berlakon, masuk bidang pengacaraan dan buat bisnes juga sebab tak mahu orang lupa keberadaan seorang Wani Kayrie dalam industri.” jelasnya.

Akuinya, rasa takut memang wujud dan menyelubungi dirinya. Dia pernah bimbang namanya hilang dari radar dunia seni begitu sahaja.

“Pernah tetapi tidaklah sampai rasa terlalu takut dilupakan.

“Perasaan itu mungkin sebab saya sudah lama dalam industri cuma sebelum ini kekerapan keluar televisyen itu kurang.

“Penting selalu keluar dalam mana-mana rancangan tetapi kalau kerap sangat, risau orang bosan dan kurang eksklusif sikit. Jadi perlu memilih juga,” ujarnya yang pernah popular dengan lagu Jangan Jangan sekitar 2015.

Penyanyi bertubuh genit itu juga sempat berkongsi antara komen sinis diterimanya daripada segelintir individu yang seperti memandang rendah karya dan kredibilitinya sebagai seorang penyanyi.

“Pernah juga orang cakap pada saya ‘kasihan Wani Kayrie, dah lama dalam industri tapi lagu tidak menjadi sebab seperti tiada ada aura di atas pentas’, antaranya begitulah.

“Sedihlah juga tetapi saya cuba memahaminya secara positif iaitu perlu mencari kelainan daripada artis lain.

“Mungkin dahulu saya sekadar menyanyi macam orang lain tetapi tiada identiti sendiri, namun sekarang sudah ada Cak Cak Cekuk dan Pulang,” jawabnya sambil tertawa.

Tidak lokek berkongsi tips, Wani yang kini bernaung bawah Rocketfuel meminta penyanyi generasi baharu menyemat istilah kesabaran yang tebal dalam diri bagi memastikan tidak mudah ‘goyang’ apabila berdepan sebarang dugaan.

“Setiap anak seni termasuk saya juga, perlu ada tahap kesabaran tinggi dan pasukan sokongan yang sangat kuat serta harus sentiasa percaya dengan bakat sendiri.

“Kesabaran adalah nombor satu. Kena kuat mental dan fizikal sebab apa juga yang dilakukan pasti akan dihujani kritikan.

“Kemudian, jangan terlalu fokus pada kritikan orang sebab boleh memudarkan minat kita pada sesuatu perkara,” akhirinya.

FOTO: Amir Khalid SOLEKAN: Iqbal Rafael (Instagram @iqbalrafael92)
PENATA GAYA: Nana Chah BUSANA: @rashidmoshi_
Read Entire Article
Pertanian | | | |