Banjir Nepal: 2 rakyat Malaysia berjaya dikesan, 55 masih belum dapat dihubungi

12 hours ago 5

PUTRAJAYA – Dua daripada 57 rakyat Malaysia yang gagal dihubungi susulan banjir kilat dan tanah runtuh di Nepal berjaya dikesan, manakala 55 lagi masih belum dapat dihubungi setakat pukul 2.22 petang tadi.

Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin berkata, setakat ini maklumat dan butiran kedua-dua mereka masih dalam proses semakan silang dan pengesahan lanjut.

“Daripada angka 57 itu, dua orang dilaporkan selamat setakat ini,” katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata proses semakan silang itu penting bagi memastikan identiti, lokasi dan status sebenar kedua-dua individu selain mengelakkan pertindihan maklumat dalam senarai rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi.

Syed Mohamad Hasrin berkata, angka 55 itu masih tertakluk kepada pengesahan lanjut berdasarkan maklumat yang diterima daripada pihak berkuasa Nepal dan agensi berkaitan.

Katanya, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan mengarahkan kementerian supaya memantau rapat perkembangan operasi dan memperkukuh usaha mengesan rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi.

Atas arahan itu, katanya, seorang pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka dihantar ke Kathmandu bagi membantu memperkukuh operasi Kedutaan Besar Malaysia di Nepal.

Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu turut bekerjasama dengan pihak berkuasa Nepal, pasukan tindak balas kecemasan Kementerian Luar Negeri Nepal, Lembaga Pelancongan Nepal, agensi berkaitan dan pengendali pelancongan bagi mendapatkan serta mengesahkan maklumat mengenai rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi.

Pihak berkuasa Nepal melaporkan sejumlah 528 individu diselamatkan setakat ini terdiri daripada 490 warga Nepal serta 38 warga asing. Berdasarkan maklumat terkini, belum ada warga Malaysia dikenal pasti dalam kalangan individu yang diselamatkan.

Beliau berkata, keadaan di kawasan terjejas kekal mencabar dan status keselamatan boleh berubah dengan pantas manakala operasi mencari dan menyelamat turut berdepan kekangan akibat keadaan cuaca serta kerosakan infrastruktur.

“Kita mengharapkan yang terbaik… tetapi dalam keadaan ini agak sukar, pihak berkuasa di sana pun rakyat mereka terlibat… keadaan pun teruk, jalan terputus… jambatan (runtuh) dan sebagainya,” katanya. – BERNAMA

Read Entire Article
Pertanian | | | |