SEBERANG PERAI – Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari menggesa siasatan berhubung kematian seorang murid perempuan berusia 11 tahun yang didakwa meninggal dunia akibat penyakit jantung, dijalankan secara menyeluruh tanpa sebarang kompromi.
Beliau berkata, semua aspek berkaitan kejadian pada 14 April lalu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Pak Kiau, Kedah perlu diteliti dan pihak berkaitan wajar diberikan ruang untuk memberikan keterangan serta penjelasan.
“Saya ingin menegaskan bahawa perkara ini perlu disiasat dengan teliti, menyeluruh, telus dan berintegriti.
“Tiada mana-mana aspek yang berkaitan dengan kejadian ini wajar diketepikan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut beliau, keluarga mangsa berhak mendapat penjelasan yang jelas, menyeluruh dan berasaskan fakta mengenai apa yang berlaku.
Katanya, pihak berkuasa pendidikan sebelum ini telah menjalankan siasatan berhubung aduan yang dikemukakan keluarga mangsa berkaitan kejadian tersebut.
“Sekiranya siasatan mendapati wujud sebarang kecuaian, pelanggaran peraturan atau salah laku, tindakan sewajarnya mesti diambil tanpa kompromi, selaras dengan undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan aspek keselamatan dan kebajikan murid tidak boleh dipandang ringan atau dikompromi sekiranya terdapat sebarang kelemahan yang dikenal pasti.
Bagaimanapun, beliau meminta semua pihak memberikan ruang kepada proses siasatan untuk berjalan secara adil dan profesional tanpa membuat sebarang kesimpulan sebelum semua fakta diperoleh dan diteliti.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada ibu bapa dan seluruh keluarga murid berkenaan serta berharap mereka diberikan kekuatan, kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan tersebut.
Terdahalu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek mengarahkan unit integriti KPM mengambil tindakan selanjutnya berhubung kematian Nur Qaira Alisha Ahmad Ilwan selaras dengan peraturan dan undang-undang berkuat kuasa.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai perkongsian bapa mangsa yang mendakwa anaknya yang mengalami masalah jantung diarahkan seorang guru untuk menyertai aktiviti larian pada sesi pemilihan rumah sukan walaupun surat pengesahan mengenai penyakit Nur Qaira telah diberikan.
Susulan kejadian itu, Nur Qaira didakwa hanya terlantar dan bergantung dengan mesin oksigen sebelum disahkan meninggal dunia pada Isnin lalu. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
4

































![[VIDEO] ‘Rehatlah Nurfisya, kau dah bahagia di tempat tiada air mata’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/0730d2ac-3c53-4ff9-bbf6-fe7478da8c6b.jpeg)















