Anwar bincang perluasan kerjasama serantau bersama Laos, Singapura

2 hours ago 2

PETALING JAYA – Malaysia terus memperkukuh hubungan diplomatik dan kerjasama strategik di rantau ASEAN menerusi pertemuan dua hala melibatkan Laos dan Singapura, yang memberi tumpuan kepada pelbagai bidang utama termasuk ekonomi, tenaga serta keterhubungan serantau.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia dan Laos berkongsi tekad untuk memperluaskan kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, tenaga boleh baharu, pendidikan tinggi, pertahanan, telekomunikasi serta keterhubungan serantau demi manfaat rakyat kedua-dua negara.

Katanya, perkara itu dibincangkan dalam pertemuan bersama Perdana Menteri Laos, Dr. Sonexay Siphandone, yang turut menzahirkan komitmen memperkukuh integrasi ekonomi ASEAN melalui jaringan ASEAN Express.

“Malaysia turut menyatakan sokongan terhadap usaha memperkasa integrasi ekonomi dan logistik ASEAN termasuk menerusi jaringan rel ASEAN Express yang menghubungkan Malaysia, Thailand, Lao PDR dan China, di samping memperkukuh kerjasama tenaga serantau melalui LTMS-PIP.

“Dalam semangat Malaysia Madani dan kebersamaan ASEAN, kita percaya bahawa pembangunan yang mampan, saling menghormati serta perkongsian kemakmuran merupakan wahana penting bagi menjamin kestabilan dan masa depan rantau ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sementara itu, dalam pertemuan berasingan Anwar bersama Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, kedua-dua negara turut memperkukuh kerjasama strategik melibatkan kepentingan bersama dan kestabilan serantau.

Antara fokus utama yang dibincangkan termasuk mempercepat pelaksanaan Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ), memastikan projek RTS Link beroperasi menjelang akhir 2026 serta memperluas kerjasama tenaga boleh diperbaharui dan ASEAN Power Grid.

Anwar berkata, kerjasama dalam bidang Carbon Capture and Storage (CCS) turut diperkukuh, di samping perbincangan berkaitan isu sempadan maritim, bekalan air, ruang udara serta pengurusan Kuala Lumpur Flight Information Region (KL FIR).

“Dalam membicarakan perkembangan serantau dan antarabangsa, Malaysia menekankan kepentingan gencatan senjata berkekalan di Timur Tengah dan kebebasan pelayaran di Selat Hormuz.

“(Selain itu) keperluan ASEAN terus memainkan peranan yang berprinsip dalam memelihara kestabilan, keselamatan dan kelangsungan rantaian bekalan global,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |