‘Bertarung’ dengan Zul Ariffin, peti suara Bront Palarae cedera

4 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Ketika pelakon lain mengalami kecederaan fizikal, aktor Bront Palarae pula berdepan situasi berbeza iaitu mengalami masalah ‘hilang’ suara ketika menjalani penggambaran filem Tarung Unforgiven.

Menurut Bront, kecederaan pada bahagian peti suaranya itu berlaku disebabkan  terlalu seronok berlakon dengan Zul Ariffin yang disifatkan memiliki tenaga dan lontaran suara luar biasa.

“Kecederaan saya ada kaitan dengan Zul yang semua tahu dia memiliki karisma, tenaga dan lontaran suaranya.

“Saya pula nak padankan energi dengan Zul sebab bukan jenis beri diskaun dalam lakonan selain mahu berseronok sepanjang ada babak bersama Zul.

“Tapi, menjelang pukul 3 pagi, suara hilang sedangkan babak kami berdua belum habis lagi,” katanya pada majlis tayangan gala Tarung Unforgiven di sini, baru-baru ini:

Kehilangan suara tersebut sekali gus menyedarkannya bahawa filem aksi bukan sahaja mencederakan fizikal tetapi juga organ dalaman.

“Jadi di sebalik cerita aksi, rupa-rupanya peti suara juga penting. Saya pula bukan pelakon teater jadi saya tak pandai nak guna teknik tertentu untuk melontarkan suara.

“Bila suara sudah tiada, saya mula gementar risau ganggu penggambaran sedangkan jadual kerja kami sangat teratur dan sihat.

“Adik-adik yang lawan fizikal pun okey, tak ganggu penggambaran. Tak akan abang-abang masuk yang babak hanya bercakap saja boleh cedera, tapi seksalah,” ujarnya.

Dia bagaimanapun bersyukur pihak produksi bertindak pantas dan proses pemulihan peti suaranya tidak mengambil masa lama.

“Tapi pasukan produksi pun sangat peka dan sentiasa bersedia dalam berdepan situasi sebegini.

“Pengarah pun memang hebat, dahulukan babak orang lain dulu sementara tunggu suara saya pulih,” ujarnya lagi.

Selain Bront dan Zul, filem arahan Raisyam Rashid tersebut turut dibarisi Mierul Aiman, Aedy Ashraf, Amir Ahnaf, Azira Shafinaz dan Sharifah Sakinah.

Naskhah terbitan Alpha 47 tersebut mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula hari ini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |