PETALING JAYA – Menerima kecaman sehingga dilabel tidak berbakat, pelakon dan penyanyi Eira Syazira memohon orang ramai memberi ruang dan peluang buat anaknya, Ammara Sofea Rose yang kini bertanding dalam program Talk To My Manager musim kedua (TTMM2).
Pemilik nama penuh Syazira Sarimah Sakinah Almera Shuhaimi, 42, itu berkata, anak sulungnya itu masih dalam proses beradaptasi dengan semua perkara baharu dalam hidup.
“13 tahun, usia seorang anak yang sedang belajar mengenal dunia, menjadi berani dan mengejar impian.
“Jangan patahkan sayapnya hanya kerana emosi kebencian.
“Cara sesetengah orang menghukum dan membenci anak berusia 13 tahun ini seolah-olah dia telah melakukan kesalahan atau jenayah yang besar,” katanya dalam Instagram.
Menerusi hantaran sama, Eira memberitahu Ammara masih sedang berusaha mencari kekuatan sendiri untuk menonjolkan bakat dalam diri.
“Sedangkan dia cuma seorang anak kecil yang sedang cuba mencari keberanian, pengalaman dan ruang untuk berkembang.
“Biarkan dia terbang, belajar dan membesar menjadi versi terbaik dirinya,” ujarnya.
Katanya lagi, dia terbuka untuk menerima sebarang kritikan namun haruslah berpada-pada dan bukan yang bersifat membunuh semangat orang lain.
“Kritik boleh tetapi janganlah sampai hilang rasa kemanusiaan. Kadang-kadang kita ini lupa untuk memanusiakan manusia.
“Terlalu sibuk menghakimi, menyindir dan mencari salah orang lain, hingga lupa diri sendiri juga manusia, penuh kekurangan dan tidak sempurna,” katanya lagi.
Menerusi hantaran berbeza, Eira sempat menitipkan kata-kata semangat buat puterinya agar terus kuat berdepan dengan setiap dugaan hidup.
“Teruslah berjuang wahai anakku. Tidak semua jalan akan mudah tetapi ini semua harus dilewati untuk menuju versi terbaik dirimu.
“Air mata, lelah dan kecewa hari ini, akan menjadi cerita yang sangat indah saat kejayaan mengejarmu.
“Teruskan bersinar, ayah dan ibu sangat bangga dengan Ammara,” tuturnya.
Eira juga turut memuat naik tangkap layar komen-komen netizen yang mempertikai kelayakan Ammara sebagai peserta TTMM2 selain berpendapat dia yang sepatutnya tersingkir berbanding Althea.
Menerusi TTMM2, Ammara menyertai program tersebut bersama bapanya, Azad Jasmin selaku pengurusnya.
Selain Ammara, TTMM2 turut disertai Adira bersama anak perempuannya Anggrek, Ani Maiyuni & Viviana, Datuk A. Aida & Azeva, Datuk Fazley & Fariedz Fazley, Datuk Seri Vida & Cik B, Jamilulhayat & Hussain, Linda Jasmine & Ratu dan Safura & Kim.
Minggu lalu, Althea dan Nana Mahazan diumumkan sebagai peserta pertama tersingkir bagi musim kali ini. – KOSMO! ONLINE

5 hours ago
5















































