PETALING JAYA – Pelaksanaan penggunaan invois elektronik (e-Invois) secara mandatori di Malaysia membuka mata banyak syarikat terhadap kelemahan sistem perakaunan, pengurusan hubungan pelanggan (CRM), inventori, dan perancangan keperluan bahan (MRP) yang beroperasi secara berasingan.
Kekangan ini bukan sahaja menjejaskan pematuhan undang-undang, malah menambah kos dan melambatkan operasi.
Ketika perancangan sumber perusahaan (ERP) muncul sebagai penyelesaian, ramai yang masih skeptikal. Bagi sebahagian syarikat, ERP dikaitkan dengan kos tinggi, tempoh pelaksanaan lama dan vendor tradisional yang tidak fleksibel.
Malah, tanggapan bahawa kecerdasan buatan (AI) adalah tidak relevan dalam ERP semakin menebal.
Peneraju serantau dalam penyelesaian perisian perusahaan, Multiable tampil menawarkan alternatif. Dengan sistem ERP berasaskan AI yang dilengkapi pembina ejen digital (AI agent builder), syarikat kini boleh mempercepatkan automasi dan mengurangkan kebergantungan pada kerja manual.
Menurut Multiable, hampir 90 peratus aliran kerja boleh diautomasi, daripada pemprosesan invois hingga pengurusan inventori. Reka bentuk tanpa kod (no-code) membolehkan pelaksanaan lebih cepat, dengan masa ujian konsep dipendekkan sehingga separuh berbanding sistem lama.
Sistem ERP berasaskan AI Multiable mampu mempercepatkan automasi sambil mengurangkan kebergantungan kepada kerja manual.Dalam konteks perolehan, sistem ini bukan sahaja mengesan kelewatan, tetapi juga menghubungi pembekal secara automatik, menyelaras perubahan pesanan dan memberi amaran risiko kepada pengurus.
Dalam jualan pula, ejen AI meneliti rekod perkhidmatan pelanggan, mengenal pasti peluang cross-sell (jualan silang), serta mencetuskan tindakan susulan yang menambah hasil berulang sehingga 50 peratus.
“Dengan e-Invois sebagai kewajipan, ERP moden bukan sekadar pilihan tetapi keperluan.
“Multiable bukan sahaja memastikan pematuhan, malah membantu syarikat berkembang,” menurut Pengarah Jualan Serantau Multiable, Stanley Pang.
Laporan antarabangsa termasuk daripada The Economist memberi amaran bahawa firma perunding tradisional kian terpinggir dalam era AI. Kos tinggi dan penyelesaian generik tidak lagi memadai.
“Berpegang pada model lama amat berisiko. Syarikat yang sanggup berubah akan muncul sebagai peneraju baharu,” tambah Pang.
Ditubuhkan pada tahun 1989, Multiable mempunyai lebih 35 tahun rekod kecemerlangan dalam pembangunan perisian perusahaan.
Platform ERP-nya membantu memperkemas operasi pembuatan, pengurusan kewangan dan rantaian bekalan, manakala penyelesaian sistem pengurusan sumber manusia (HRMS) yang disediakan mengoptimumkan pengurusan tenaga kerja serta pembangunan modal insan. – KOSMO! ONLINE

2 days ago
11











![[VIDEO] Pempengaruh dikecam buat live lucah, isteri turut gelak](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-06-at-3.28.35-PM.jpeg)





































