Cari dalang insiden bakar suar, hukum maksimum – Sultan Selangor

2 hours ago 3

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan dukacita susulan insiden pembakaran suar di Jambatan Angkat, Kuala Terengganu yang didakwa melibatkan penyokong Selangor FC, kelmarin.

Baginda selaku Penaung Selangor FC menegaskan tidak berkenan dengan budaya samseng dan gangsterisme yang semakin menular dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan, khususnya mereka yang memakai jersi pasukan itu.

“Beta mahu agar pihak polis mencari dalang di sebalik insiden itu dan sekıranya didapati bersalah, mereka yang terbabit haruslah dihukum dengan hukuman yang maksimum dan setimpal mengikut undang-undang.

“Ia sebagai pengajaran kepada para penyokong Selangor FC yang lain supaya insiden seumpamanya tidak berulang,” titahnya dalam kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah di sini hari ini.

Sultan Sharafuddin turut mencadangkan agar penyokong-penyokong Selangor FC yang disabitkan kesalahan menimbulkan kekacauan, agar diharamkan daripada masuk ke stadium untuk menghadiri mana-mana perlawanan membabitkan pasukan itu.

“Semua penyokong pasukan Selangor FC diingatkan sentiasa mengawal tingkah laku masing-masing serta menjaga nama baik pasukan dan negeri,” titah baginda.

Terdahulu Kosmo! melaporkan seramai 21 daripada 33 penyokong Selangor FC yang direman kerana berarak dan membakar suar di Jambatan Angkat Kuala Terengganu di sini kelmarin, didapati positif dadah jenis THC atau ganja.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin dilaporkan berkata, kesemua mereka adalah lelaki berusia 17 hingga 43 tahun.

“Sembilan individu pula ditahan kerana memiliki 70 suar bernilai RM7,500 dan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

“Sebanyak 54 daripada 70 suar tersebut dibakar sewaktu berarak di atas Jambatan Angkat Kuala Terengganu atau Drawbridge,” jelasnya.

Semakan mendapati enam daripada 33 suspek itu merupakan pelajar institusi pengajian tinggi, manakala seorang lagi pelajar sekolah menengah. Kesemua mereka direman selama empat hari sehingga Khamis ini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |