PETALING JAYA – Siapalah tidak kenal barangan elektrik National yang pernah mencetuskan gelombang di Malaysia bermula era 80-an, apabila hampir setiap rumah seakan ‘wajib’ mempunyai sekurang-kurangnya satu keluaran jenama itu.
Daripada kipas, seterika, periuk nasi sehinggalah pembersih hampagas, National menjadi idaman kerana kualitinya yang terkenal tahan lasak dan ‘berkhidmat’ bertahun-tahun tanpa kerosakan.
Menerusi hantaran tular @Taufiqmnsr di Thread, dia memuat naik satu gambar sebuah hampagas berwarna merah jenama National yang masih digunakan walaupun keadaan luaran menunjukkan kesan calar serta penggunaan lama.
“Syarikat dia dah ‘padam’, barang dia masih lagi ‘running’ (berfungsi),” tulisnya di ruangan kapsyen.
Hantaran itu mengundang rasa setuju dalam kalangan pengguna jenama National apabila kebanyakan mereka memuat naik barangan elektrik jenama tersebut yang masih digunakan sehingga kini.
“Kami terima ini sebagai hadiah kahwin pada tahun 1991, masih guna sampai sekarang,” komen Raja Kamarul sambil memuat naik gambar pembakar roti jenama National.
“Salah satu sebab National ‘bungkus’ sebab tak ada orang ‘repeat order’ (ulang pesanan). Nak ‘repeat order’ macam mana.. sebab barang semua tak rosak, hahaha,” komen Ayob.
“Saya ada peti ais National, dibeli tahun 1994, tambah tolak nak dekat 40 tahun dah diturun-temurunkan,” komen Nur Wahidah pula.
Untuk rekod, National merupakan jenama barangan elektrik yang digunakan oleh syarikat Jepun yang diasaskan oleh Kōnosuke Matsushita, sebelum penjenamaan global disatukan di bawah nama Panasonic.
Langkah penyatuan jenama secara global itu diperkukuh apabila syarikat menukar nama korporat kepada Panasonic dan mengumumkan penyatuan jenama ‘Panasonic’ di seluruh dunia pada 1 Oktober 2008.
Di Malaysia pula, Panasonic Malaysia menjelaskan sejarah penjenamaan tempatan termasuk penggunaan nama ‘National Panasonic’ sebelum beralih kepada ‘Panasonic Malaysia’ sebagai sebahagian gerakan penyatuan jenama global. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
3


![[VIDEO] ‘Faizah…hiburkanlah saya’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-03-at-3.46.22-PM.jpeg)














































