Jangan permainkan wang rakyat – Alexander

5 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi amaran tegas kepada kontraktor terpilih supaya melaksanakan Projek Pembinaan Penjara Sibu, Sarawak dengan penuh amanah, berintegriti serta mematuhi segala spesifikasi yang ditetapkan, memandangkan peruntukan bernilai RM275.33 juta merupakan wang rakyat.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tanggungjawab kontraktor bermula sebaik sahaja Surat Setuju Terima (SST) diterima, dan pelaksanaan projek mesti dilaksanakan dengan profesional serta berlandaskan ketelusan.

Menurutnya, ia bukan sekadar formaliti, sebaliknya mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh pembangunan prasarana negara secara strategik, mampan dan berdaya tahan.
“Saya mengucapkan tahniah kepada kontraktor terpilih yang berjaya memperoleh kontrak ini. Namun, tanggungjawab anda bermula dari saat ini.

“Kontraktor bukan sahaja perlu menjaga nama baik Kementerian Kerja Raya (KKR) dan agensi terlibat, tetapi juga wajib memastikan projek dilaksanakan dengan penuh amanah kerana setiap sen yang dibelanjakan adalah wang rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan SST bagi projek berkenaan di Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) di sini, hari ini.

Alexander berkata, tindakan tegas akan diambil sekiranya pelaksanaan projek didapati tidak mematuhi kontrak serta spesifikasi yang telah ditetapkan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pembinaan Penjara Sibu akan dilaksanakan menggunakan kaedah reka dan bina dengan tempoh pembinaan selama 36 bulan dan dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2029.

Projek ini bertujuan menggantikan penjara sedia ada di Sibu yang telah beroperasi lebih 100 tahun dan dianggap tidak lagi sesuai dengan keperluan semasa, terutama dari segi kapasiti serta fasiliti moden.

Selain itu, penjara baharu ini juga dijangka menyokong pelaksanaan Program Pemulihan Insan secara lebih menyeluruh melalui penyediaan infrastruktur yang lebih moden, selamat dan kondusif.

“Pembinaan Penjara Sibu bukan sekadar menggantikan bangunan lama, tetapi sebahagian daripada usaha reformasi sistem pemulihan banduan agar lebih berkesan dan berorientasikan pembangunan insan,” katanya.

Penjara baharu tersebut direka untuk menampung kapasiti sehingga 1,000 prospek dan dijangka memberi impak signifikan kepada sistem penjara di Sarawak. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |