KUALA LUMPUR – Kerajaan melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mewajibkan ‘online travel agent’ (OTA) atau ejen dalam talian mengintegrasikan kod QR di dalam tiket bas ekspres penumpang Terminal Bersepadu Selatan (TBS).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pelaksanaan sistem itu dijangka dapat melancarkan pergerakan penumpang dan menangani kesesakan di TBS menjelang sambutan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri.
Menurutnya, penambahbaikan itu dilaksana susulan aduan orang ramai apabila mereka perlu beratur sekali lagi untuk mendapatkan kod QR selepas membeli tiket melalui OTA.
Katanya, kod QR itu berfungsi seperti ‘boarding pass’ (pas masuk) di lapangan terbang bagi membolehkan hanya penumpang yang sah memasuki kawasan pintu pelepasan di TBS.
“Mulai Februari ini, semua penjualan tiket melalui OTA mesti ada kod QR. Maksudnya penumpang tidak lagi perlu beratur untuk menukar kod QR.
“Saya harap dalam musim Tahun Baharu Cina akan datang ini, jumlah orang yang akan beratur akan berkurang dengan mendadak,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan dan tinjauan di TBS, di sini hari ini.
Anthony berkata, bagi penumpang yang telah membeli tiket sebelum pelaksanaan sistem baharu itu, pihak TBS menyediakan kemudahan untuk mendapatkan kod QR secara dalam talian melalui portal rasmi TBS.
Mengulas lanjut, katanya, Kementerian Pengangkutan turut mengarahkan pengendali TBS untuk menambah baik kemudahan dan fasiliti asas susulan pelbagai aduan sebelum ini.
Beliau menegaskan, aspek keselesaan pengguna sentiasa menjadi perhatian memandangkan pengendali mengenakan caj perkhidmatan kepada penumpang sekali gus bertanggungjawab memastikan kemudahan terminal berada pada tahap terbaik.
“Dalam beberapa bulan kebelakangan ini memang ada banyak aduan berkenaan eskalator tidak berfungsi, lif rosak dan tandas tidak bersih.
“Semua perkara asas ini kita telah wajibkan pengendali untuk tambah baik, eskalator dan lif mesti berfungsi dan tandas perlu sentiasa bersih,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Anthony memaklumkan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Bandar Sri Permaisuri akan berpindah ke TBS bermula Mac depan.
Menurutnya, pejabat baharu itu dipindahkan ke TBS oleh kerana mudah diakses menggunakan pengangkutan awam, selain membawa konsep moden yang lebih mesra pelanggan.
“JPJ Bandar Seri Pemaisuri kini beroperasi di rumah kedai yang kurang selesa dan sering menyebabkan kesesakan.
“Konsep pejabat baharu ini lebih kepada khidmat pelanggan seperti di bank yang lengkap dengan kaunter yang lebih selesa dan kiosk,” katanya. – KOSMO! ONLINE

4 hours ago
2


![[VIDEO] ‘Faizah…hiburkanlah saya’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-03-at-3.46.22-PM.jpeg)














































