WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menandatangani rang undang-undang (RUU) untuk menamatkan penutupan kerajaan, beberapa jam selepas ia diluluskan oleh Dewan Perwakilan, lapor akhbar The Guardian.
Ia berlaku ketika anggota-anggota Parti Demokrat memberi amaran bahawa mereka akan menyekat pembiayaan selanjutnya kepada Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) sekiranya tuntutan untuk sekatan terhadap kempen pengusiran besar-besaran Trump tidak ditangani.
Dewan Perwakilan yang dikuasai Parti Republikan meluluskan langkah peruntukan berjumlah AS$1.2 trilion (RM4.7 trilion) dengan undian tipis 217-214.
Trump menandatanganinya lewat petang semalam di White House sekali gus menamatkan penutupan kerajaan AS yang bermula selepas tengah malam Jumaat minggu lalu.
Penutupan itu telah menghentikan banyak operasi di jabatan termasuk pertahanan, kesihatan dan perkhidmatan manusia, buruh serta pengangkutan.
Kegagalan meluluskan pembiayaan itu berlaku selepas wakil-wakil Demokrat enggan meluluskan pembiayaan berterusan untuk DHS susulan insiden pembunuhan dua rakyat AS oleh ejen persekutuan di Minneapolis, selain mereka menuntut sekatan baharu terhadap penguatkuasaan imigresen.
Antara syarat mereka adalah keperluan agar ejen persekutuan memakai kamera badan dan berhenti memakai topeng muka, mematuhi kod tatalaku dan mendapatkan waran tangkap untuk pendatang haram di negara itu.
“Apa yang Demokrat mahukan adalah perkara logik akal,” kata ketua Minoriti Senat, Chuck Schumer dalam ucapannya semalam.
Parti Demokrat pada mulanya menyekat kelulusan pakej perbelanjaan di Dewan Senat minggu lalu, mendorong White House untuk bersetuju dengan perjanjian di mana DHS akan dibiayai sehingga 13 Februari ini, manakala jabatan-jabatan lain akan menerima perbelanjaan sehingga September, apabila tahun fiskal 2026 berakhir. – AGENSI

3 hours ago
2

















































