Kerap dicuri, bomba ganti penutup kebuk besi dengan batu

2 hours ago 3

MELAKA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka terpaksa menggantikan kebuk pili bomba yang sebelum ini menggunakan penutup besi dengan binaan batu susulan ia sering dicuri.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Mohd. Zaidi Ma’at berkata, inisiatif itu diambil bagi memastikan kemudahan penting tersebut kekal selamat serta boleh digunakan ketika operasi pemadaman kebakaran, khususnya dalam tempoh kritikal lima minit pertama.

Menurutnya, pemeriksaan berkala yang dijalankan mendapati banyak penutup kebuk pili bomba hilang dipercayai akibat vandalisme dan kecurian.

“Setakat ini terdapat lebih 18,000 unit pili bomba di seluruh negeri Melaka melibatkan pili bomba awam dan swasta, namun sebanyak 1,122 unit dikenal pasti mengalami pelbagai bentuk kerosakan.

“Banyak (kebuk) yang telah terbuka, jadi pegawai-pegawai kita telah tutup menggunakan simen dan batu dengan harapan ia akan kekal di situ,” ujarnya kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Tahunan Tahun 2026 JBPM Melaka di Bukit Katil, di sini, semalam.

Jelasnya, pili bomba awam yang dicat merah berada di bawah seliaan JBPM, manakala pili bomba swasta berwarna kuning menjadi tanggungjawab pemilik premis masing-masing.

Mengulas lanjut beliau berkata, pembinaan tersebut dilaksanakan secara berperingkat mengikut pemantauan oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat di setiap kawasan.

Ujarnya lagi, setakat ini tiada laporan polis dibuat kerana kebanyakan pili bomba terletak di kawasan jauh yang tidak mempunyai rakaman televisyen litar tertutup (CCTV).

“Bagi pili bomba yang berada di premis berdekatan, notis akan dikeluarkan kepada pemilik premis untuk kerja-kerja pembaikan.

“Untuk kawasan perumahan dan tepi jalan, kita melantik Ikatan Relawan Rukun Tetangga (IKRT) dan komuniti setempat sebagai mata dan telinga bomba bagi memantau keadaan pili serta mengambil tindakan awal jika berlaku kerosakan atau penutupan tidak sempurna,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |